L&G rekod pendapatan RM287.6 juta, untung bersih RM36.4 juta pada FY2025

18/09/2025 - 17:57
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Sept – Land & General Berhad (L&G) mencatatkan pendapatan RM287.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY2025), meningkat 33% berbanding RM216.6 juta pada FY2024.
Keuntungan bersih Kumpulan pula melonjak 56.9% kepada RM36.4 juta, disokong oleh jualan hartanah yang konsisten, penjualan sebahagian tanah bagi kitar semula modal, serta sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen pendidikan.
L&G dalam satu kenyataan memaklumkan segmen hartanah kekal menjadi penyumbang utama pendapatan dengan hasil RM240.5 juta dan keuntungan operasi RM62.2 juta.
“Ini didorong oleh jualan hartanah dan penjualan tanah seluas 56 hektar di Senawang dengan nilai RM60.2 juta.
“Kumpulan telah melancarkan Sena Parc Fasa 1E di Senawang (80 unit rumah mampu milik satu tingkat) dan Residensi Kamelia di Bandar Sri Damansara (602 unit apartmen servis mampu milik),” kata L&G.
Segmen pendidikan pula menyumbang pendapatan RM40.5 juta, meningkat 17.1%, dengan keuntungan operasi RM16 juta, memanfaatkan jenama sekolah Sri Bestari yang berusia 30 tahun, sebagai penyumbang aliran pendapatan berulang yang stabil.
L&G turut mengumumkan dividen RM23.8 juta atau 0.8 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran 65.4% bagi FY2025, yang diluluskan pemegang saham pada AGM.
Pengarah Urusan L&G, Low Gay Teck berkata, FY2025 adalah tahun kukuh bagi L&G dan meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan.
“Dengan kedudukan kewangan yang teguh, tanah pembangunan yang mantap dan jenama pendidikan Sri Bestari, kami bersedia merebut lebih banyak peluang di pasaran hartanah sambil memastikan aliran pendapatan berulang daripada sekolah,” katanya.
L&G menyasarkan fasa pertumbuhan seterusnya dengan memanfaatkan tanah pembangunan seluas 1,139 hektar serta pelancaran beberapa projek hartanah yang sudah dirancang pada masa akan datang.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, Kumpulan menegaskan komitmennya untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dengan memanfaatkan tanah strategik di lokasi utama, sambil mengukuhkan kedudukan dalam segmen hartanah dan pendidikan.
Melangkah ke hadapan, Kumpulan mensasarkan lebih RM700 juta GDV bagi pelancaran baharu FY2026, yang dijangka menjadi pemangkin utama fasa pertumbuhan seterusnya.- DagangNews.com
standard


