Untung bersih NexG pada 4QFY25 naik 13.5% kepada RM43.8 juta dipacu kos operasi rendah

LocalBusiness & Finance
29 May 2025 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih NexG pada 4QFY25 naik 13.5% kepada RM43.8 juta dipacu kos operasi rendah

image is not available

29/05/2025 - 14:21

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Untung bersih NexG Berhad pada suku keempat berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25) naik 13.5% kepada RM43.8 juta berbanding RM38.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu oleh kos operasi lebih rendah.

Bagaimanapun, hasil kumpulan itu menyusut kepada RM103.8 juta berbanding RM115. 7 juta pada 4QFY24.

Katanya, sejumlah RM88.14 juta daripada hasil kumpulan dalam suku kewangan semasa diperoleh daripada pembekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan pemperibadian kad pintar yang lebih rendah berbanding RM103.65 juta yang diperoleh dalam suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

"Penyusutan ini disebabkan permintaan yang lebih rendah daripada pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan tersebut.

"Pada 4QFY25, kumpulan itu mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi berbanding keuntungan dalam suku yang sama tahun kewangan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kos operasi yang lebih rendah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi FY25 juga meningkat kepada RM115.5 juta berbanding RM92.3 juta disokong perkembangan hasil kepada RM373.5 juta berbanding RM368.3 juta pada FY24.

Mengulas mengenai prospek, NexG berkata, prospek ekonomi Malaysia bagi 2025 secara keseluruhannya kekal positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berada antara 4.5% dan 5.5% disokong penggunaan domestik yang kukuh, aliran pelaburan yang berterusan dan perdagangan intra-serantau yang lebih kuat.

Keutamaan negara dalam digitalisasi, pembaharuan sektor awam, dan infrastruktur identiti yang selamat dijangka akan mempercepatkan permintaan terhadap rumusan bersepadu yang berasaskan teknologi.

"Dengan fokus berterusan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan harta intelek, dan inovasi platform, kami kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang rumusan identiti selamat serta potensinya untuk menyumbang kepada agenda ekonomi digital," katanya. - DagangNews.com

featured standard