Untung bersih KAB naik 25.8%, raih kontrak EPCC terbesar RM646 juta

LocalBusiness & Finance
29 May 2025 • 3:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih KAB naik 25.8%, raih kontrak EPCC terbesar RM646 juta

image is not available

29/05/2025 - 15:03

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kinergy Advancement Berhad (KAB) melaporkan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (Q1FY25), dengan keuntungan bersih meningkat 25.8% kepada RM6.25 juta berbanding RM4.97 juta pada tahun lalu.

Syarikat itu turut mencatat lonjakan hasil sebanyak 63.1% kepada RM68.57 juta, didorong terutamanya oleh prestasi cemerlang segmen rumusan tenaga lestari (SES) yang mencatat pertumbuhan hasil 72.6% kepada RM34.28 juta.

Segmen sama juga mencatat keuntungan sebanyak RM8.46 juta dengan hasil bersih sebanyak 24.7% dari pendapatannya.

Selain itu, KAB kini memiliki buku pesanan kukuh bernilai RM730 juta termasuk kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) terbesar dalam sejarah syarikat bernilai RM646 juta yang baru diperoleh.

Syarikat juga mempunyai senarai projek tender yang kukuh sekitar RM3.42 bilion yang dijangka menyokong pertumbuhan berterusan.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan KAB, Dato’ Lai Keng Onn berkata, syarikatnya telah berkembang dari syarikat kejuruteraan teknikal menjadi peneraju dalam rumusan tenaga lestari sepanjang hampir 30 tahun beroperasi.

"Dengan kontrak EPCC bernilai RM646 juta ini, kami berada di landasan yang tepat untuk menjadi penjana kuasa bebas yang menawarkan khidmat menyeluruh dan dipercayai.

"Setiap projek yang kami peroleh adalah langkah penting dalam perkembangan KAB menjadi pemain tenaga yang lebih besar dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, KAB kini memasuki fasa baharu yang memberi tumpuan pada pendapatan yang stabil, operasi yang cekap dan kemampuan melaksanakan projek dari awal hingga akhir.

"Kami bersedia untuk beroperasi pada skala lebih besar dan terus berkembang secara mampan," ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada strategi peralihan, KAB telah mengambil alih 47.5% saham dalam Jati Cakerawala Sdn Bhd, membolehkan syarikat terlibat dalam projek menaik taraf loji jana kuasa 650MW.

KAB juga bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak untuk meneroka 29 projek tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi pada masa hadapan.

Kejayaan KAB memperoleh tiga kontrak berturut-turut sejak 2023 daripada unit Petronas Gas Berhad menunjukkan keupayaan syarikat mengurus projek besar.

Projek berkenaan merangkumi keseluruhan proses dari perancangan, pembangunan, pembinaan hingga pengurusan aset dan kemudahan selepas projek siap, termasuk model bina-milik-operasi untuk projek tenaga lestari berskala besar.

Dengan momentum yang kukuh, KAB terus memperluas portfolio tenaga dan memperbaharui senarai projek, sambil mencari peluang baharu di Malaysia dan rantau ASEAN.

Langkah tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan KAB sebagai peneraju tenaga lestari dan mengekalkan daya saing dalam pasaran tenaga yang semakin berkembang. - DagangNews.com

standard