liza26/05/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei – Northeast Group Berhad mencatat prestasi kewangan yang kukuh bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 apabila keuntungan bersihnya meningkat lebih tiga kali ganda, selari dengan peningkatan permintaan global dalam sektor semikonduktor dan elektrikal serta elektronik (E&E).
Syarikat yang terlibat dalam pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan itu berkata ia terus mengekalkan momentum pertumbuhan memberangsangkan sepanjang suku kedua berakhir 31 Mac 2026.
“Bagi suku tersebut, Northeast Group mencatat hasil sebanyak RM38.6 juta, meningkat 40.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Pada masa sama, keuntungan kasar meningkat 58.1 peratus kepada RM14.4 juta, mencerminkan peningkatan margin operasi yang lebih baik.
“Keuntungan sebelum cukai melonjak 97.5 peratus kepada RM14.2 juta manakala keuntungan selepas cukai meningkat 103.6 peratus kepada RM12.3 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh kumulatif enam bulan pertama tahun kewangan 2026, syarikat merekodkan hasil sebanyak RM75.3 juta, meningkat 45.8 peratus tahun ke tahun.
Dalam tempoh sama, keuntungan kasar meningkat 79.3 peratus kepada RM27.3 juta, manakala PBT melonjak 158.2 peratus kepada RM23.2 juta.
Keuntungan selepas cukai bagi tempoh enam bulan tersebut turut meningkat 207.8 peratus kepada RM19.5 juta, membuktikan prestasi pertumbuhan yang kukuh dan konsisten.
Prestasi ini didorong oleh peningkatan permintaan pelanggan dalam pelbagai industri utama termasuk fotonik, semikonduktor, E&E, telekomunikasi dan optoelektronik.
Selain itu, syarikat berkata ia turut mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan bahan buangan industri serta ketiadaan kos penyenaraian sekali sahaja yang sebelum ini memberi kesan kepada keputusan kewangan.
Northeast Group turut mencatat keuntungan daripada pengurangan kerugian susut nilai ke atas penghutang perdagangan yang menyumbang kepada pengukuhan keuntungan keseluruhan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Northeast Group, Ng Chay Chin berkata prestasi memberangsangkan itu mencerminkan keupayaan pelaksanaan kumpulan serta model operasi yang berdaya tahan dalam persekitaran permintaan yang semakin pulih.
“Strategi “high-mix low-volume” yang diamalkan kumpulan membolehkan syarikat menawarkan fleksibiliti tinggi dalam pengeluaran pelbagai jenis komponen sambil mengekalkan margin yang sihat.
“Walaupun risiko geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan global masih wujud, kesannya terhadap kumpulan dijangka terkawal melalui pengurusan inventori yang berhemah serta hubungan pelanggan yang kukuh,” katanya.
Dari segi prospek, Northeast Group kekal komited untuk memperkukuh kapasiti jangka panjang melalui pelan pengembangan fasiliti termasuk di kemudahan sedia ada serta pembangunan kilang baharu.
Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran dan storan syarikat bagi menyokong permintaan masa depan dalam rantaian nilai semikonduktor dan fotonik global.
Syarikat juga menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran antarabangsa dengan pelanggan sedia ada di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Singapura, Kanada, Jerman dan Hungary. - DagangNews.com





