liza13/11/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov – Southern Acids (M) Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM19.91 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, meningkat 54.9% berbanding RM12.86 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan pengeluar oleokimia dan pengendali perkhidmatan kesihatan itu susut 8.4% kepada RM233.71 juta daripada RM255.06 juta disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen pembuatan oleokimia serta perladangan dan pengilangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Southern Acids berkata peningkatan keuntungan bagi suku berkenaan turut dicerminkan menerusi keuntungan kasar yang naik 25.9% kepada RM41.59 juta berbanding RM33.04 juta sebelumnya.
“Keuntungan bagi tempoh itu termasuk RM15.64 juta yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti syarikat, meningkat 68.4% daripada RM9.29 juta setahun lalu. Pendapatan sesaham asas dan cair turut meningkat kepada 11.42 sen berbanding 6.78 sen,” katanya.
PAT enam bulan meningkat lebih dua kali ganda
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027, PAT kumpulan meningkat kepada RM39.16 juta berbanding RM16.17 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil bagi tempoh kumulatif itu susut 2.4% kepada RM469.38 juta daripada RM481.11 juta, berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen pembuatan oleokimia serta perladangan dan pengilangan yang mengimbangi pertumbuhan perkhidmatan kesihatan.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti syarikat pula meningkat kepada RM30.16 juta daripada RM8.97 juta, manakala pendapatan sesaham asas dan cair naik kepada 22.03 sen berbanding 6.55 sen.
Perkhidmatan kesihatan catat pertumbuhan hasil
Mengikut segmen, perkhidmatan kesihatan mencatatkan pertumbuhan hasil tertinggi apabila meningkat 10.2% kepada RM36.10 juta berbanding RM32.77 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disokong aktiviti pesakit yang lebih tinggi apabila jumlah pesakit luar bertambah 4.2% kepada 19,164 orang, manakala pesakit dalam meningkat 13.8% kepada 3,194 orang. Keuntungan operasi segmen itu turut meningkat 15% kepada RM10.72 juta daripada RM9.32 juta.
Sebaliknya, hasil segmen pembuatan oleokimia merosot 20.4% kepada RM64.44 juta daripada RM80.96 juta, manakala jumlah jualan susut 23.1% kepada 10,025 tan metrik berbanding 13,044 tan metrik.
Kadar penggunaan kapasiti pengeluaran segmen itu turut menurun kepada 45.8% daripada 54.8%. Bagaimanapun, kerugian operasi berjaya dikurangkan kepada RM1.99 juta berbanding RM4.61 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Segmen perladangan dan pengilangan terus menyumbang
Segmen perladangan dan pengilangan mencatatkan hasil RM126.38 juta, turun 5.9% daripada RM134.34 juta setahun lalu. Namun, keuntungan operasi meningkat 18.4% kepada RM17.96 juta berbanding RM15.17 juta.
Prestasi segmen itu disokong peningkatan 1.9% jumlah buah tandan segar (BTS) yang diproses serta pertumbuhan 13.8% dalam pengeluaran BTS. Bagaimanapun, jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) susut 5%, manakala harga jualan purata CPO turun 2.3% kepada RM3,513 satu tan metrik.
Sementara itu, segmen pelaburan dan perkhidmatan mencatatkan hasil luar kumpulan sebanyak RM6.79 juta, susut 2.9% berbanding RM6.99 juta. Kerugian operasi segmen itu meningkat kepada RM2.68 juta daripada RM1.63 juta.
Prospek kekal berhati-hati bagi baki FY2027
Mengulas prospek, Southern Acids menjangkakan persekitaran operasi segmen pembuatan oleokimia kekal mencabar berikutan permintaan global yang sederhana, persaingan pasaran sengit serta ketidaktentuan dasar perdagangan antarabangsa.
Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pengeluaran, daya saing kos dan margin produk bagi memulihkan keuntungan segmen berkenaan secara berperingkat.
Bagi segmen perladangan dan pengilangan, prospek kekal positif secara berhati-hati, disokong harga CPO dan isirung sawit (PK) yang relatif stabil. Namun, prestasinya masih bergantung kepada permintaan dan penawaran minyak sayuran global, dasar biodiesel serta eksport minyak sawit Indonesia, pengeluaran BTS dan kos perolehan.
Segmen perkhidmatan kesihatan pula dijangka kekal berdaya tahan, disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta dan pertumbuhan kemasukan pesakit. Bagaimanapun, peningkatan kos tenaga kerja, bekalan perubatan serta perubahan keperluan kawal selia kekal menjadi cabaran operasi.
Lembaga Pengarah Southern Acids berkata kumpulan kekal berhati-hati optimistik terhadap prospek bagi baki tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, selagi tiada keadaan luar jangka yang menjejaskan operasi. Tiada dividen dibayar bagi tempoh kewangan tersebut. - DagangNews.com






