Untung Inari merosot 43% kepada RM123 juta bagi FY26 akibat kebakaran kilang di Filipina

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung Inari merosot 43% kepada RM123 juta bagi FY26 akibat kebakaran kilang di Filipina Image from: Untung Inari merosot 43% kepada RM123 juta bagi FY26 akibat kebakaran kilang di Filipina amree23/10/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Inari Amertron Berhad mencatatkan kemerosotan keuntungan bersih sebanyak 42.5% kepada RM122.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), susulan tekanan operasi termasuk kerugian berkaitan insiden kebakaran kilangnya di Filipina berjumlah RM41.9 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi lemah itu mencerminkan tahun kewangan yang mencabar bagi penyedia perkhidmatan pembungkusan dan ujian semikonduktor luaran (OSAT) berkenaan, ketika penurunan volum pengeluaran dan peningkatan kos operasi turut menjejaskan keuntungan semasa.

 

Hasil kumpulan turut menyusut 12.2% kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.35 bilion pada FY2025, manakala kerugian pertukaran mata wang asing (forex) sebanyak RM24.6 juta susulan pergerakan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit Malaysia menambah tekanan terhadap prestasi kewangan.

 

"Bagaimanapun, Inari menyasarkan pemulihan pada FY27 dengan bergantung kepada prospek permintaan semula ke atas segmen frekuensi radio (RF) serta peningkatan jualan komponen semikonduktor bagi infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC)," katanya dalam kenyataan itu.

 

Insiden kebakaran tersebut berlaku pada 10 Mei 2026 melibatkan ruang 1,161 meter persegi atau 10% daripada keluasan kilang sebelum dapat dipadamkan pihak bomba tempatan lebih sejam kemudian, dan menyebabkan operasi digantung beberapa hari. Tiada kecederaan mangsa yang dilaporkan.

 

Sementara itu dalam laporan tahunan tersebut, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran telefon pintar tradisional, kumpulan berkenaan turut memberi tumpuan kepada segmen bernilai tinggi seperti fotonik komunikasi data pembungkusan termaju dan modul pengawal tenaga bagi pelayan AI.

 

Inari_DagangNews2026

 

Inari namun kekal kukuh tanpa pinjaman dan memiliki tunai serta setara tunai RM2.21 bilion setakat 30 Jun 2026. Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen berjumlah RM179.7 juta atau 4.7 sen sesaham bagi FY26 dengan nisbah pembayaran 146.6% daripada keuntungan selepas cukai (PAT).

 

"Dalam usaha memperkukuh kapasiti pengeluaran, ia merancang pembinaan kilang ketiga di Filipina, yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran berkaitan AI dan DC sebanyak 30%. Kumpulan turut meneruskan perluasan operasi kilang di Batu Kawan dan Bayan Lepas, Pulau Pinang," katanya.

 

Segmen RF dijangka kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kumpulan, disokong potensi pemulihan volum pesanan menerusi kitaran pelancaran model baharu telefon pintar utama serta peralihan pelanggan Amerika Syarikat kepada modem 5G yang dibangunkan secara dalaman.

 

Pada masa sama, perniagaan fotonik dan optoelektronik dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi tempoh FY27 hingga FY28, didorong perluasan kemudahan wafer di Singapura serta peningkatan penggunaan penghantar optik untuk menyokong keperluan data berkelajuan tinggi di DC AI.

 

Inari turut memberi perhatian kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pembangunan bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam industri semikonduktor dengan skor FTSE4Good naik kepada 4.8 daripada 5.

 

"Prospek jangka panjang syarikat ini turut disokong dengan unjuran global yang menjangka pasaran semikonduktor antarabangsa mampu berkembang positif untuk mencecah kepada sebanyak AS$1.91 trilion (RM7.8 trilion) pada 2027," jelas kumpulan berkenaan. 

 

Bagaimanapun ujarnya, keupayaan kumpulan memulihkan keuntungan selepas kesan kebakaran dan merealisasikan permintaan baharu dalam segmen AI serta fotonik akan menjadi antara faktor utama yang diperhatikan pelabur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved