Pertumbuhan 12.6% hasil Wawasan Dengkil kepada RM203 juta bagi FY26 imbangi tekanan kos diesel

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan 12.6% hasil Wawasan Dengkil kepada RM203 juta bagi FY26 imbangi tekanan kos diesel Image from: Pertumbuhan 12.6% hasil Wawasan Dengkil kepada RM203 juta bagi FY26 imbangi tekanan kos diesel amree22/10/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR  22 Okt — Wawasan Dengkil Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.6% kepada RM203.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), dengan pertumbuhan itu mengimbangi tekanan kenaikan kos diesel dan perbelanjaan pembinaan tambahan.

 

Peningkatan pendapatan daripada hanya RM180.62 juta pada tahun kewangan sebelumnya itu mencerminkan perkembangan aktiviti perniagaan, khususnya segmen perkhidmatan pembinaan. Bagaimanapun, kenaikan kos operasi mengehadkan manfaat daripada pertumbuhan pendapatan tersebut.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, situasi berkenaan mengakibatkan keuntungan selepas cukai (PAT) susut kira-kira 30.5% kepada RM7.20 juta berbanding RM10.36 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) merosot 35.3% kepada RM9.79 juta daripada sebanyak RM15.13 juta.

 

"Tekanan berkenaan turut terlihat pada kedudukan margin keuntungan kasar yang mengecil kepada hanya 11.2% daripada sebelumnya mencecah kira-kira 15.1% berikutan faktor kos jualan meningkat kepada sebanyak RM180.55 juta berbanding RM153.36 juta pada FY25," menurut Wawasan Dengkil.

 

Cabaran tersebut mendorong kumpulan memperkukuh strategi kepelbagaian pendapatan menerusi sektor tenaga boleh baharu (RE), dengan pembangunan loji solar fotovolta berkapasiti 70 megawatt (MW) di Pendang, Kedah, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pendapatan berulang jangka panjang.

 

Tambahnya, usaha itu perlu memandangkan kos jualan sepanjang FY26 meningkat kepada RM180.55 juta daripada RM153.36 juta, sebahagian besarnya akibat kenaikan harga diesel serta kos tambahan di tapak Projek Setia Alaman berikutan perubahan kaedah pembinaan.

 

Wawasan Dengkil_DagangNews2026

 

Bagi perniagaan teras ujar Wawasan Dengkil, segmen perkhidmatan pembinaan terus menjadi penyumbang utama dengan hasil naik 18.5% kepada RM196.89 juta. Pertumbuhan itu disokong kemajuan beberapa kerja, termasuk projek gentian optik, UMW Serendah, Sungai Long dan Central Spine Road.

 

"Setakat 30 Jun 2026, kumpulan mempunyai buku pesanan belum dibil berjumlah RM394.60 juta menerusi 17 projek aktif. Nilai kontrak tersebut dijangka menyumbang kepada hasil kumpulan secara berperingkat, tertakluk kepada kemajuan dan pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

 

Bagaimanapun, tumpuan risiko masih terarah kepada kebergantungan terhadap pelanggan utama apabila dua pelanggan terbesar merangkumi kira-kira 72.3% daripada keseluruhan buku tempahan belum dibil. Keadaan ini menjadikan usaha mendapatkan kontrak baharu penting bagi mempelbagaikan sumber hasil.

 

Antaranya menerusi anak syarikat, WD Solar Kedah Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program Solar Berskala Besar Kelima (LSS5+). Loji solar 70MW itu disasar memulakan operasi komersial pada Februari 2028.

 

Selain itu, kumpulan merancang meraih peluang kontrak pembinaan infrastruktur baharu serta menyertai bidaan program Solar Berskala Besar Keenam (LSS6) dan skim Pembekalan Tenaga Elektrik Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) bagi meluaskan penglibatan dalam sektor tenaga.

 

Secara keseluruhan, Lembaga Pengarah Wawasan Dengkil masih lagi kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan tersebut, disokong buku pesanan sedia ada dan peluang dalam peralihan tenaga negara.

 

Namun, keupayaan memulihkan margin keuntungan akan bergantung pada kawalan kos diesel, pengurusan pelaksanaan projek serta kejayaan merealisasikan sumbangan pendapatan daripada loji solar yang dijadualkan beroperasi pada 2028. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved