amree31/07/2026 - 15:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Oasis Home Holding Berhad berpotensi meraih keuntungan dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) mencecah 32.4% sehingga tahun kewangan 2028 (FY28).
Menurut analisis Apex Securities, unjuran itu dipacu model perniagaan digital yang memanfaatkan rangkaian kira-kira 18,000 pencipta kandungan sebagai enjin utama pemerolehan pelanggan dan pendapatan.
Firma itu berkata, walaupun masih berdepan cabaran bagi membuktikan kejayaan strategi pengembangan ke pasaran baharu, ia memiliki beberapa pemacu pertumbuhan yang masih belum diterokai sepenuhnya.
"Ini termasuk segmen pengguna Melayu dan saluran farmasi, Oasis Home, dengan syarikat bukan lagi sekadar peruncit tradisional, sebaliknya sudah menjadi platform perdagangan digital," tambahnya.
Langkah itu ujar Apex Securities, menggabungkan ekosistem pencipta kandungan, platform tawaran terbaik (OBO) serta pemilikan data pelanggan bagi menyokong pertumbuhan secara jangka panjang.
Justeru, kumpulan ini dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk mencatat pertumbuhan lebih pantas menerusi strategi perdagangan digital, serta perluasan pasaran baharu sepanjang masa.

Perkembangan positif itu turut disokong kecekapan operasi Oasis Home yang semakin baik, campuran produk bernilai lebih tinggi dan margin keuntungan kekal kukuh berbanding syarikat pesaing lain.
"Rangkaian pencipta kandungan syarikat menjadi kelebihan daya saing utama kerana sifat kos rendah menerusi video pendek, pemasaran gabungan dan jualan penstriman langsung," kata Apex Securities.
Selain memacu jualan produk, firma itu berkata ekosistem pencipta kandungan berpotensi menjana sumber pendapatan baharu melalui kursus penghasilan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Usaha ini tambahnya, dianggarkan mampu menyumbang RM2.43 juta berdasarkan kadar penyertaan 10% daripada rangkaian pencipta sedia ada, selain tumpuan Oasis Home kepada pasaran pengguna Melayu.
Segmen itu ujar Apex Securities, menjana RM6.4 juta, daripada hasil bagi tempoh 9MFY26, dengan penembusan hanya 1% daripada populasi Melayu berpotensi menyumbang hasil tahunan RM36 juta.
"Berdasarkan prospek itu, kami memulakan liputan terhadap syarikat ini dengan saranan 'beli' serta harga sasaran (TP) 61 sen sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 46.2%," ujar firma berkenaan.
Penilaian itu disokong oleh prospek pertumbuhan keuntungan yang kukuh, model perniagaan digital bersifat aset ringan, serta pulangan ekuiti dijangka terus meningkat. - DagangNews.com





