Untung Petronas Dagangan dijangka lebih baik pada 2QFY24 susulan pemulihan industri penerbangan - MIDF Research

Business & Finance
23 May 2024 • 10:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung Petronas Dagangan dijangka lebih baik pada 2QFY24 susulan pemulihan industri penerbangan - MIDF Research

herman

23/05/2024 - 10:17

KUALA LUMPUR 23 Mei - MIDF Research menjangkakan keuntungan Petronas Dagangan Berhad meningkat dalam suku tahun kewangan yang masih berbaki terutama pada suku kedua (2QFY24) dan suku ketiga (3QFY24) terutamanya daripada sektor penerbangan.

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan Petronas Dagangan bagi 1QFY24 merosot -25.1% YoY kepada RM226juta yang disebabkan oleh kos produk yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi (opex).

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 1Q24 yang kukuh dan harga minyak yang stabil memberikan keyakinan kepada prospek Petronas Dagangan 2024.

"Secara keseluruhan, kami kekal positif terhadap prestasi FY24 Petronas Dagangan berikutan pertumbuhan KDNK yang kukuh dan pemulihan sektor penerbangan pada CY24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Jelas MIDF Research, pihaknya juga sentiasa berwaspada tentang tekanan inflasi dalam pasaran yang boleh memberi kesan kepada kos produk dan perbelanjaan operasi Petronas Dagangan dalam tempoh terdekat.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan harga minyak mentah Brent kepada purata AS$85-AS$88 satu tong dalam 2QCY24, kecuali sebarang peningkatan di Timur Tengah pada masa depan.

"Inflasi menjadi risiko terhadap operasi dan kos produk. 1QCY24 melihat purata harga minyak mentah Brent berada pada AS$85 satu tong, peningkatan +3.5% YoY berbanding dengan 1QCY23.

"Walaupun harga lebih tinggi, pertumbuhan permintaan untuk minyak telah menjadi tidak stabil, terutamanya di China, tetapi ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah dan pemotongan pengeluaran OPEC+ yang berterusan ke 2QCY24 terus mengehadkan bekalan minyak, dengan itu menyeimbangkan purata harga minyak mentah untuk memberi manfaat kepada volum jualan Petronas Dagangan," jelasnya.

Sementara itu, mengulas segmen kedai serbaneka Petronas Dagangan, MIDF Research berkata, ia telah kembali kepada menguntungkan pada 1QFY24 setelah kerugian pada suku sebelumnya.

"Pendapatan 1QFY24 meningkat sebanyak +9.3% YoY kepada RM69.5juta, manakala keuntungan operasi menurun -62% YoY kepada RM7.2juta.

"Walau bagaimanapun, ini adalah peningkatan yang besar dari defisit sebanyak -RM15.6juta dalam 4QFY23. Peningkatan pendapatan adalah disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dan penjualan yang lebih tinggi untuk Kedai Mesra dan Café Mesra," ujarnya.

Kata firma itu, segmen runcit pula menyaksikan pertumbuhan volum jualan yang tinggi (+13%) sejajar dengan peningkatan permintaan.

"Walau bagaimanapun, opex berkaitan volum mengheret pendapatan ke bawah, walaupun aliran harga MOPS menggalakkan dan volum jualan yang lebih tinggi," katanya yang mengekalkan saranan Beli saham Petronas Dagangan.- DagangNews.com