Eksport balak Ta Ann melonjak lebih dua kali ganda, penganalisis jangka pemulihan segmen kayu berterusan

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 11:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport balak Ta Ann melonjak lebih dua kali ganda, penganalisis jangka pemulihan segmen kayu berterusan Image from: Eksport balak Ta Ann melonjak lebih dua kali ganda, penganalisis jangka pemulihan segmen kayu berterusan liza26/11/2026 - 11:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Penganalisis menjangkakan pemulihan segmen pembalakan Ta Ann Holdings Berhad berterusan pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), disokong permintaan eksport kayu balak lebih tinggi, keadaan cuaca lebih baik yang memudahkan aktiviti pengangkutan serta peningkatan jumlah jualan.

 

CGS International (CGSI) berkata, prestasi segmen berkenaan dijangka terus bertambah baik susulan kejayaan kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga FY26 selepas mengalami kerugian selama tiga suku tahun berturut-turut.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat kos bahan mentah lebih rendah dan harga jualan lebih baik sebagai faktor yang menyokong peningkatan keuntungan perniagaan kayu Ta Ann pada suku berikutnya.

 

MBSB Research pula berkata jumlah eksport kayu balak Ta Ann meningkat lebih dua kali ganda pada 3QFY26 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala jumlah jualan papan lapis meningkat 20%.

 

“Bagaimanapun, keuntungan segmen kayu bagi suku berkenaan masih turun 35.9% tahun ke tahun berikutan penurunan harga jualan purata kayu balak sebanyak 26% kepada AS$176 bagi setiap meter padu.

 

“Sebaliknya, harga jualan purata papan lapis kekal hampir tidak berubah pada AS$496 bagi setiap meter padu, berbanding AS$495 setahun sebelumnya.

 

“Dari segi pengeluaran, jumlah pengeluaran papan lapis meningkat 24.8% kepada 24,245 meter padu, disokong keadaan cuaca lebih baik yang membantu operasi pengeluaran,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Walaupun berdepan tekanan harga kayu balak, segmen produk kayu Ta Ann kembali mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.6 juta pada 3QFY26 berbanding kerugian RM4.2 juta pada suku kedua FY26.

 

Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26, segmen itu masih merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.1 juta berbanding RM3.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perniagaan kelapa sawit terus menyumbang

Sementara itu, segmen kelapa sawit kekal sebagai penyumbang utama prestasi kewangan Ta Ann apabila mencatat hasil RM580.8 juta pada 3QFY26, meningkat 32.9% berbanding RM436.9 juta setahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen berkenaan melonjak 44.1% kepada RM148.2 juta, manakala margin keuntungan sebelum cukai meningkat kepada 25.5% berbanding 23.5% pada 3QFY25.

 

Peningkatan itu disokong pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang meningkat 45.8% kepada 266,443 tan, manakala pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) naik 21.2% kepada 97,610 tan.

 

MBSB Research berkata, margin segmen kelapa sawit turut mendapat manfaat daripada kos pemprosesan seunit lebih rendah dan kadar perahan minyak (OER) yang kekal melebihi 19%.

 

Secara keseluruhan, Ta Ann mencatat hasil RM647.2 juta bagi 3QFY26, meningkat 28.9% berbanding RM502.2 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) meningkat 16.7% kepada RM87.4 juta daripada RM74.9 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26, hasil kumpulan meningkat 16.2% kepada RM1.56 bilion, manakala PATANCI naik 18.2% kepada RM201.9 juta.

 

Penganalisis berbeza pandangan terhadap prospek

Dalam perkembangan berkaitan, CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap Ta Ann dengan harga sasaran RM8.90, selain mengunjurkan keuntungan bersih syarikat meningkat 17% pada FY27, disokong andaian harga CPO lebih tinggi pada RM4,800 satu tan berbanding RM4,500 satu tan pada FY26.

 

Sebaliknya, MBSB Research mengekalkan saranan Beli tetapi menurunkan harga sasaran saham kepada RM5.77 daripada RM6.72 sebelum ini, susulan jangkaan peningkatan inventori minyak sawit yang boleh menyebabkan harga CPO kekal lemah dan tidak menentu.

 

MBSB Research turut menjadikan pembayaran dividen sebagai antara tarikan utama Ta Ann, dengan mengunjurkan hasil dividen sebanyak 8.1% bagi FY26 dan 7.1% bagi FY27. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved