liza26/11/2026 - 12:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Peningkatan buku tempahan kontrak WCT Holdings Berhad kepada RM4.18 bilion masih belum menjamin pemulihan keuntungan kumpulan itu apabila kerugian dalam segmen kejuruteraan dan pembinaan terus meningkat, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan WCT bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) jauh lebih rendah daripada jangkaan berikutan kerugian operasi segmen pembinaan yang semakin besar, selain peningkatan agihan sukuk kekal (perpetual sukuk).
WCT mencatatkan kerugian bersih RM85.3 juta pada 3QFY26. Selepas mengecualikan caj sekali sahaja RM66.4 juta berkaitan pengambilalihan baki 30% kepentingan dalam Jelas Puri Sdn Bhd, kumpulan itu masih merekodkan kerugian teras RM18.9 juta berbanding keuntungan teras RM10.7 juta pada 3QFY25.
Prestasi itu turut merosot berbanding keuntungan teras RM19.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26). Hasil kumpulan merosot 11% kepada RM427 juta berbanding RM479.5 juta setahun sebelumnya, disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan serta pembangunan hartanah.
Buku tempahan meningkat, tetapi pelaksanaan projek menjadi perhatian
Bagaimanapun, buku tempahan kontrak WCT meningkat 13.6% kepada RM4.18 bilion pada September 2026 berbanding RM3.68 bilion pada Jun 2026.
Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh kontrak bangunan pejabat bernilai RM601 juta di Tun Razak Exchange (TRX), yang meningkatkan nilai kerja bangunan tempatan daripada RM736 juta kepada RM1.27 bilion.
Nilai tender yang disertai kumpulan turut meningkat kepada lebih RM24 bilion pada September 2026 berbanding lebih RM14 bilion pada Jun 2026, khususnya dalam kategori kerja sivil dan infrastruktur.
Bagaimanapun, MBSB Research menjangkakan sumbangan keuntungan kumpulan masih berdepan tekanan dalam beberapa suku akan datang, walaupun kemajuan projek infrastruktur seperti kerja pembesaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Pavilion Damansara Heights Fasa 2 dijangka memberikan sokongan.
Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan WCT bagi FY2026 dan FY2027 masing-masing sebanyak 165% dan 23% susulan kerugian pembinaan lebih besar daripada jangkaan serta pemulihan keuntungan yang lebih perlahan.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan Neutral terhadap saham WCT, tetapi menurunkan harga sasaran kepada 25 sen daripada 42 sen sebelum ini.
CGSI kekal positif, harga sasaran RM1.12
Dalam perkembangan berasingan, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan Tambah terhadap WCT dengan harga sasaran RM1.12, walaupun mengakui keputusan kewangan 3QFY26 mengecewakan.
CGSI berkata, kerugian teras WCT berjumlah RM18.5 juta pada suku berkenaan, manakala bagi 9MFY26 kumpulan mencatatkan kerugian teras RM4 juta berbanding keuntungan teras RM38 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut firma itu, perkembangan positif utama ialah perolehan kontrak baharu WCT sepanjang tahun sehingga kini mencecah RM2.5 bilion, melebihi sasaran RM2 bilion bagi FY2026. Buku tempahan luarannya pula berjumlah RM4 bilion pada September 2026 berbanding RM2.2 bilion pada Jun 2025, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik.
Bagaimanapun, CGSI turut menekankan cabaran utama WCT ialah keupayaan menterjemahkan peningkatan kontrak kepada keuntungan sebenar, memandangkan segmen pembinaan telah mencatatkan kerugian dalam tiga suku berturut-turut.
Firma itu turut melihat perniagaan hartanah sebagai penyumbang positif apabila keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen berkenaan meningkat 47% kepada RM37 juta pada 3QFY26, selain mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM720 juta setakat September 2026.
CGSI berkata, pelabur dijangka kembali memberi perhatian kepada WCT sekiranya kumpulan itu dapat menunjukkan keupayaan melaksanakan projek yang diperoleh dan meningkatkan prestasi keuntungan, khususnya di bawah kepimpinan Pengarah Urusan Kumpulan baharu, Lai Cheng Yee yang dilantik berkuat kuasa 12 November 2026.
CGSI mengekalkan harga sasaran RM1.12 berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), dengan menyatakan penilaian saham WCT ketika ini menarik pada 0.1 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) unjuran FY2026.
Antara pemangkin kepada penilaian semula saham itu ialah peningkatan prestasi keuntungan dan perolehan lebih banyak kontrak baharu, manakala risiko utama termasuk prestasi segmen pembinaan yang terus mengecewakan serta jualan hartanah lebih rendah. - DagangNews.com






