Upah RM300 seorang, lelaki cuba seludup tujuh PATI Myanmar dicekup

12 Nov 2026 • 9:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Upah RM300 seorang, lelaki cuba seludup tujuh PATI Myanmar dicekup
Upah RM300 bagi setiap individu dipercayai menjadi habuan seorang lelaki tempatan yang ditahan polis selepas disyaki membawa tujuh PATI dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur. Foto: PGA

GUA MUSANG - Upah RM300 bagi setiap individu dipercayai menjadi habuan seorang lelaki tempatan yang ditahan polis selepas disyaki membawa tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan bersama kesemua warga Myanmar terbabit semasa pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah Perodua Aruz di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah di sini kira-kira jam 10.50 pagi pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu lelaki tempatan berkenaan bersama tujuh penumpang dipercayai warga Myanmar, terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun.

"Kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

"Pemandu dan kesemua penumpang ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di sekitar Pasir Mas sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM300 bagi setiap individu.

Tambahnya, polis turut merampas sebuah Perodua Aruz dan telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved