
Tenom: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bersedia untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), kata Presidennya Datuk Ewon Benedick.
Beliau menyeru seluruh anggota parti dan gabungan parti-parti Kerajaan Perpaduan supaya memberikan sokongan padu kepada calon Upko bagi memastikan kemenangan gabungan kerajaan.
Kerusi itu ketika ini disandang oleh Presiden Parti KDM Datuk Peter Anthony yang dipenjara baru-baru ini kerana rasuah.
“Pilihan raya negeri ini penting untuk Sabah. Upko bersama Pakatan Harapan (PH) sudah pun menjadi kerajaan Persekutuan, maka pilihlah wakil rakyat daripada parti yang mewakili kerajaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Upko Tenom 2025, di Dewan Seri Panglima Antanom, di sini, Ahad.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kelebihan wakil rakyat daripada parti kerajaan ialah mereka boleh menguruskan agenda pembangunan untuk kawasan masing-masing.
Katanya, Melalap harus diwakili oleh pemimpin tempatan yanf benar-benar memahami cabaran dan isu masyarakat setempat, dan menambah, Upko mahu identiti kepimpinan Melalap dikembalikan seperti sebelum ini.
Ewon yakin Upko mempunyai peluang cerah untuk menang di Melalap kerana parti itu mempunyai sejarah panjang di kawasan ini sejak era penubuhan Malaysia pada 1960-an, selain telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber.
Menolak dakwaan bahawa pemimpin Sabah di peringkat Persekutuan adalah “agen Malaya”, katanya, mereka adalah “agen Sabah” yang memperjuangkan kepentingan negeri dalam kerajaan Persekutuan.
“Sebaik sahaja saya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah melaksanakan Dasar Pandang ke Timur dalam negara dalam perspektif Kuskop iaitu memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak tanpa mengabaikan negeri-negeri lain.
“Antara inisiatif yang saya perkenalkan ialah projek Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan pelbagai program lain khusus untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ewon turut mencabar parti-parti tempatan lain supaya menyatakan pencapaian mereka terhadap Sabah ketika berada dalam kerajaan Persekutuan, sambil menegaskan bahawa Upko sebagai parti lokal akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, termasuk di Melalap dan Kadamaian.
“Saya telah menunjukkan kepada calon-calon Upko tanggungjawab sebagai presiden. Rakyat memerlukan kepimpinan berwajah baharu yang berprestasi, berdedikasi dan mempunyai identiti kepimpinan Sabah. Teruskan berkhidmat dan bekerja untuk rakyat Melalap,” tegasnya.
Turut hadir Ketua Bahagian Upko Tenom Junik Bajit serta barisan kepimpinan Upko.
