UPSI angkat pengorbanan bapa sebagai ‘hero tak didendang’ di Istiadat Konvokesyen

17 Nov 2025 • 10:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI angkat pengorbanan bapa sebagai ‘hero tak didendang’ di Istiadat Konvokesyen
Para bapa graduan berdiri sebagai tanda penghormatan jasa mereka sempena Istiadat Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Suasana Dewan Tuanku Canselor, Istiadat Konvokesyen UPSI hari ini berubah hening apabila ucapan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff pada sesi keempat Istiadat Konvokesyen Ke-27 menyentuh hati hadirin dengan penghargaan mendalam terhadap pengorbanan seorang bapa.

Prof Datuk Dr Md Amin berkata kejayaan 7,173 graduan UPSI pada tahun ini bukan sahaja hasil usaha mereka sendiri, malah turut bertunjangkan ketabahan, kecekalan dan kesetiaan seorang ayah yang tidak pernah meminta balasan.

Dewan yang sebelum itu riuh dengan sorakan kegembiraan bertukar sendu apabila para ibu bapa dan graduan tersentuh dengan pesanan beliau yang mengangkat bapa sebagai hero yang tidak didendang.

Menurutnya, seorang bapa lazimnya memikul amanah berat dalam diam, dan justeru itu tidak hairanlah jika pengorbanan mereka sering terlepas pandang.

Beliau berkata pengalaman bertemu seorang ayah yang hadir ke kampus semalam membuktikan bahawa tangan yang kasar dan keras bukan sekadar tanda kerja berat, tetapi juga simbol cinta dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang hayat.

“Tidak sedikit bapa sanggup mengetepikan impian sendiri, termasuk mengorbankan simpanan haji dan bekerja tanpa mengenal penat semata-mata mahu melihat anak-anak melangkah ke menara ilmu.

“Walaupun seorang ayah jarang meluahkan rasa, namun merekalah yang sering lebih dahulu menyelesaikan pelbagai urusan keluarga tanpa diminta, demi memastikan anak-anak tidak terbeban.

Image from: UPSI angkat pengorbanan bapa sebagai ‘hero tak didendang’ di Istiadat Konvokesyen
Naib Canselor menyantuni bapa graduan UPSI. Photo credit: UPSI

Dalam pada itu, para graduan diseru agar terus menghargai bapa dan tidak melupakan jasa ayah walaupun ketika mereka sudah memiliki pendapatan sendiri dan kehidupan yang stabil.

“Bagi mereka yang telah kehilangan bapa, amalan mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah tidak seharusnya dilupakan kerana kasih seorang ayah kekal melangkaui masa dan jarak.

“UPSI bukan sahaja meraikan pencapaian akademik graduan, tetapi turut menghargai bapa sebagai wira tanpa mahkota yang menjadi tiang kekuatan keluarga dan masa depan anak-anak,” ujar beliau.

Beliau menutup ucapannya dengan mengajak graduan mengenang kembali lelah seorang ayah yang tidak pernah dipertontonkan, sambil menegaskan bahawa pengorbanan mereka adalah amanah yang wajib dihargai sepanjang hayat.

Majlis turut berkongsi pencapaian UPSI di peringkat antarabangsa termasuk kedudukan ke-601 universiti terbaik dunia oleh Times Higher Education dan pengiktirafan program akademik yang meraih penarafan tertinggi.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.