UPSI antara finalis terbanyak di QS Reimagine Education 2025

18 Dec 2025 • 9:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI antara finalis terbanyak di QS Reimagine Education 2025
Empat finalis dari UPSI bergambar kenangan Anugerah QS Reimagine Education 2025 di London, UK. Photo credit: UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila tersenarai sebagai antara universiti yang mempunyai bilangan finalis tertinggi pada Anugerah QS Reimagine Education 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa dalam inovasi pendidikan.

Anugerah yang sering digelar sebagai ‘Oscar’ dalam dunia pendidikan itu dianjurkan oleh QS, badan penarafan institusi pengajian tinggi antarabangsa, sebagai platform paling berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan perintis pendidikan global yang memacu transformasi landskap pembelajaran, meningkatkan hasil pembelajaran serta kebolehpasaran generasi masa hadapan.

Menurut Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, UPSI diwakili oleh empat pensyarah sebagai finalis dalam kategori berbeza, menjadikan ia kali ketiga universiti itu terpilih sebagai finalis bagi anugerah berprestij kendalian QS.

Bagi kategori Nurturing Wellbeing and Purpose Award, UPSI diwakili oleh Prof. Madya Dr. Nurul ‘Ain Mohd Daud dari Fakulti Pembangunan Manusia menerusi projek inovasi bertajuk “From Surviving to Thriving: A Neuro-Immersive Approach to Wellbeing and Purpose in Higher Education”.

Sementara itu, Dr. Norsayyidatina Che Rozubi daripada fakulti sama menjadi finalis bagi kategori Nurturing Values and Ethics melalui projek “Hope Through Counseling: Nurturing Hearts of Child Cancer Warriors”.

Dalam kategori Nurturing Employability, UPSI diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr. Kesavan Nallaluthan dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dengan projek “Nurturing Employability Through a Holistic Three-Pronged Teaching Strategy”, manakala kategori Immersive Experiential Learning Award pula menampilkan Dr. Abdul Rahman Safian dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan menerusi inovasi realiti maya “eMARZsive: An Immersive VR Innovation for Enhancing Music Appreciation in Education”.

Menurut Md Amin, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan warga akademik universiti itu untuk bersaing dan diiktiraf di peringkat global melalui inovasi pengajaran dan pembelajaran yang berimpak tinggi.

“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkasa ekosistem pendidikan berasaskan inovasi, teknologi dan nilai kemanusiaan sejajar dengan aspirasi pendidikan negara serta agenda global,” ujar beliau.

Edisi 2025 menyaksikan penyertaan lebih 1,650 inovasi merentasi 21 kategori anugerah, sekali gus mencatatkan rekod baharu dari segi jumlah penyertaan serta kualiti dan kepelbagaian projek.

Setiap penyertaan dinilai oleh 1,344 panel juri antarabangsa dan Grand Jury yang terdiri daripada lebih 50 pakar global, mencerminkan tahap prestij dan daya tarikan global anugerah berkenaan.

Sebanyak 21 kategori anugerah dipertandingkan pada edisi 2025 termasuk kategori Future of Learning, Future of Universities, Future of Work, Sustainability serta Values, selain turut menampilkan sesi ucaptama, bengkel dan sesi selari sepanjang persidangan berlangsung.

Anugerah dan Persidangan QS Reimagine Education 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Disember di Queen Elizabeth II Centre, Westminster.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.