LUMUT- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan bakal mahasiswa apabila turun padang membantu seorang pelajar yang berdepan kekangan kewangan bagi membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian di universiti itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar perlu dizahirkan melalui tindakan bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan prihatin ke kediaman bakal mahasiswa UPSI, Khairina Uwaidah Khairul Nizam di Lumut, di sini, Jumaat lalu, bersama Pegawai Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Rafiq Mohd.
“UPSI percaya tiada anak bangsa yang wajar tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana kemiskinan.
“Pendekatan cakna dan prihatin seperti ini akan terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang datang daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Khairina, anak kedua daripada empat beradik, ditawarkan mengikuti Program Pendidikan Kimia di UPSI namun berdepan cabaran kewangan keluarga untuk menyediakan keperluan awal sebelum memulakan pengajian.
Bapanya, Khairul Nizam Zabrie bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan, manakala ibunya, Aslina Osman merupakan suri rumah sepenuh masa.
Dengan pendapatan berkenaan, keluarga itu turut menanggung tiga lagi anak iaitu anak sulung yang tidak bekerja, seorang anak yang kini di Tingkatan Empat serta anak bongsu yang masih di Darjah Enam.
Norkhalid berkata, kos persiapan awal kemasukan ke universiti, perjalanan, keperluan pengajian dan perbelanjaan sebagai mahasiswa boleh menjadi beban kepada keluarga berpendapatan sederhana, justeru sokongan sewajarnya perlu diberikan.
Sehubungan itu, pihak UPSI melalui Yayasan Pendidikan Tinggi (YPS) dan Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga Khairina, khususnya dalam membuat persiapan sebelum beliau memulakan pengajian.
“Bantuan ini diharapkan dapat menjadi titik awal kepada perjalanan Khairina untuk melangkah ke menara ilmu dan merealisasikan impiannya dalam bidang pendidikan,” katanya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)





