
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menggerakkan pasukan Counselor on Wheels (COW) bagi membantu institusi pendidikan menangani isu buli yang semakin serius melalui pendekatan pencegahan, kaunseling dan intervensi awal.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, mereka memiliki kepakaran dalam bidang kaunseling, psikologi, pendidikan dan pembangunan sahsiah yang boleh dimanfaatkan untuk membantu institusi pendidikan berhadapan dengan isu berkenaan.
“UPSI akan menghantar pasukan kaunseling ke Kuantan, Pahang dan Batu Pahat, Johor untuk membantu pihak institusi pendidikan dalam mendepani kes buli terbaharu.
“Pendekatan menangani buli perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada tindakan selepas sesuatu kes berlaku,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak berkaitan perlu bergerak daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan dan intervensi awal.
“Counselor on Wheels akan digerakkan supaya kepakaran UPSI dapat dibawa terus kepada institusi pendidikan yang memerlukan,” katanya.
Menurut beliau, arahan menggerakkan COW adalah antara langkah yang sedang diberi perhatian UPSI bagi memperkukuh sumbangan universiti kepada masyarakat, khususnya dalam memastikan persekitaran pendidikan yang selamat dan kondusif.
Beliau berkata, antara langkah yang akan diberi perhatian ialah memperluas khidmat kaunseling dan intervensi awal kepada institusi pendidikan yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
“Kedua, pasukan COW akan membantu melaksanakan program kesedaran dan pendidikan pencegahan buli yang melibatkan pelajar, guru, kaunselor serta pihak pengurusan institusi.
“Seterusnya, pendekatan kaunseling dan pemulihan akan diberikan kepada mangsa buli bagi membantu mereka mengurus kesan emosi serta membina semula keyakinan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UPSI gerakkan Counselor on Wheels tangani buli di institusi pendidikan appeared first on Kosmo Online.






