UPSI lancar program Protege BITARA, 39 pelajar terima sokongan keluarga angkat

19 Dec 2025 • 7:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI lancar program Protege BITARA, 39 pelajar terima sokongan keluarga angkat
39 pelajar Program Protege BITARA bergambar kenangan dengan barisan pengurusan tertinggi UPSI sempena Karnival Badan Pelajar 2025 di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM — Seramai 39 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima suntikan semangat baharu apabila dipertemukan secara rasmi dengan 24 keluarga angkat dalam kalangan kakitangan universiti menerusi Program Protege BITARA yang dilancarkan baru-baru ini.

Majlis peluncuran program berkenaan berlangsung di Gerbang Suria, Kampus Sultan Azlan Shah bersempena Karnival Badan Pelajar 2025, yang menyaksikan kehadiran kira-kira 14,000 pelajar sejak awal pagi.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taffberkata, Program Prodigy BITARA mencerminkan nilai teras BITARA yang menekankan keprihatinan, kebersamaan dan pembangunan insan secara holistik dalam ekosistem kampus.

“Program ini berteraskan prinsip 3A iaitu Adab, Akhlak dan Akademik. Kita mahu pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki adab yang tinggi serta akhlak yang baik sebagai bakal pendidik dan pemimpin masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata pendekatan keluarga angkat yang diperkenalkan mampu mewujudkan persekitaran kampus yang lebih penyayang dan inklusif, sekali gus membantu pelajar menangani cabaran kehidupan universiti dengan lebih seimbang.

“Kehadiran keluarga angkat memberi makna besar kepada pelajar kerana mereka bukan sekadar menerima bantuan, malah merasai sokongan moral, perhatian dan bimbingan yang berterusan. Inilah roh BITARA UPSI yang ingin kita semai dalam kalangan seluruh warga universiti.

Menurut beliau, inisiatif itu juga berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan kekeluargaan serta sokongan emosi antara warga universiti dan pelajar, di samping meningkatkan kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.

Program Protege BITARA, yang diperkenalkan sejak awal 2025 dan dikelolai oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI, memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan program, mengenal pasti pelajar yang memerlukan serta mendapatkan penyumbang berpotensi dalam kalangan kakitangan universiti.

Menerusi program itu, penyumbang komited membantu pelajar melalui potongan gaji berjadual secara bulanan bagi tempoh minimum satu tahun, selain berpeluang berinteraksi, membimbing dan memantau perkembangan anak angkat masing-masing.

Penyumbang yang memilih untuk kekal tanpa identiti turut diberi ruang bagi memastikan sumbangan dapat disalurkan secara ikhlas dan berterusan.

“Program berkenaan dijangka menjadi antara inisiatif berimpak tinggi UPSI dalam memperkukuh kesejahteraan pelajar serta melahirkan graduan seimbang dari segi sahsiah, nilai kemanusiaan dan kecemerlangan akademik,” ujar beliau.

Dalam majlis yang sama turut diadakan penyerahan kutipan derma Palestin dan Sudan serta Pelancaran Bitara Prihatin dan Mahasiswa Prihatin serta Apresiasi atlet sukan UPSI.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.