TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda sukan inklusif apabila menganjurkan Kejohanan Olahraga Mini Para UPSI 2025 peringkat kebangsaan, baru-baru ini.
Kejohanan yang menghimpunkan kira-kira 120 atlet para dari seluruh negari itu turut menerima pengiktirafan Persatuan Olahraga Para Malaysia sebagai 1st Para Junior Championship, sekali gus meletakkan UPSI sebagai institusi perintis dalam penganjuran kejohanan para peringkat junior di Malaysia.
Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia merangkap Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Zarrawi Ravi Abdullah berkata, program berkenaan merupakan inisiatif penting untuk membina bakat atlet para sejak peringkat muda.
“Melalui penganjuran sukan ini, kita dapat mengenal pasti atlet berbakat sejak awal dan memberi mereka peluang untuk bersaing dalam suasana yang profesional dan adil.
“Ia juga menjadi landasan untuk melahirkan atlet para yang mampu mewakili negara pada peringkat antarabangsa,” kata beliau ketika merasmikan kejohanan sukan berkenaan di Stadium UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau, penglibatan UPSI sebagai penganjur adalah contoh terbaik bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan inklusif.
“UPSI bukan sahaja menyediakan platform untuk pertandingan, malah menyokong pembangunan holistik atlet para melalui latihan, bimbingan dan pengalaman praktikal. Ini adalah model yang patut dicontohi oleh institusi lain,” ujar beliau.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI, Prof. Madya Dr. Jaffry Zakaria, berkata pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan UPSI menyediakan platform sukan berkualiti tinggi bagi golongan berkeperluan khas.
“Pengiktirafan sebagai 1st Para Junior Championship ini adalah pengiktirafan besar bukan sahaja kepada UPSI tetapi juga kepada usaha berterusan kami dalam memperkasakan pembangunan sukan para di Malaysia.
“UPSI akan terus komited menyediakan ruang kompetitif yang inklusif dan terancang untuk para atlet muda.
Jaffry berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform pembangunan bakat yang berpotensi menjadi pelapis kepada atlet para kebangsaan.
“Kita mahu memastikan atlet para yang masih di peringkat sekolah mendapat peluang yang sama rata untuk bertanding, bersaing dan dinilai berdasarkan kemampuan mereka. Inilah asas kepada pembangunan atlet secara menyeluruh,” katanya.
Program anjuran FSSK itu dilaksanakan menerusi kerjasama Pusat Sukan UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), CIRCLE serta Persatuan Olahraga Para Malaysia.
Kejohanan mempertandingkan acara balapan 100m, 200m, 400m dan 1500m serta acara padang merangkumi lompat jauh dan lontar peluru. Semua acara dibahagikan mengikut kategori ketidakupayaan intelektual dan penglihatan bagi atlet lelaki dan perempuan.
Antara atlet yang mencuri tumpuan ialah Muhammad Fitri Aszuddin dari Kuala Lumpur yang meraih emas dalam 200 meter serta perak dalam lompat jauh. Atlet Selangor, Nur Izdihar Ibrahim, turut muncul cemerlang dengan dua pingat emas dalam acara lompat jauh dan 400 meter.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)




