UPSI Rangkul Kejuaraan Forum Piala Menteri Besar Perak 2025

3 Nov 2025 • 11:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI Rangkul Kejuaraan Forum Piala Menteri Besar Perak 2025
Pasukan UPSI ketika menerima piala kemenangan Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang disampaikan oleh Saarani Mohamad (enam dari kiri). Photo credit: FB Saarani Mohamad

IPOH — Pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila muncul juara Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Khamis lalu.

Pasukan yang dianggotai oleh Nuramiraasha Rashdan, Muhammad Faiz Md Fauzi, Muhammad Azri Asyraf Abu Seman, Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim dan Nurul Syahera Zainudin, terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu dan ISMP Bahasa Arab, membuktikan keupayaan pelajar UPSI menggabungkan kekuatan ilmu bahasa dan kemahiran komunikasi dalam medan berhujah.

Kemenangan itu membolehkan pasukan UPSI membawa pulang cek cura bernilai RM4,000, piala kemenangan serta sijil penyertaan, yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, pelajar UPSI, Nuramiraasha Rashdan, turut dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik, melengkapkan kejayaan berganda universiti itu dalam pertandingan berprestij tersebut.

Naib johan pertandingan disandang oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, manakala IPG Kampus Rajang, Sarawak menduduki tempat ketiga.

Pertandingan yang bertemakan “Bahasa Melayu Pemangkin Generasi Madani” itu dianjurkan bagi memperkukuh peranan bahasa kebangsaan sebagai wahana ilmu, komunikasi, dan perpaduan bangsa.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, ketika mengulas kejayaan itu berkata, kemenangan tersebut mencerminkan kecemerlangan pelajar UPSI bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wacana ilmiah.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sekadar bijak berhujah, tetapi mampu berbicara dengan hikmah, berfikir secara kritis dan menyampaikan pandangan dengan adab serta budi bahasa,” ujar beliau.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi para pelajar dan bimbingan pensyarah yang sentiasa menekankan keseimbangan antara penguasaan teori bahasa dan kemahiran komunikasi praktikal.

“Kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sentiasa menyokong pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam konteks sebenar seperti pertandingan forum ini.

“Ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, tetapi juga membina keyakinan, kepimpinan dan ketajaman berfikir,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.