UPSI Terima 4,063 Pelajar Baharu Sesi 2025/2026

1 Oct 2025 • 1:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI Terima 4,063 Pelajar Baharu Sesi 2025/2026
Pelajar baharu UPSI ketika menunggu giliran bagi mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu UPSI ambilan September 2025/2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Photo credit: Reduan UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima seramai 4,063 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda ambilan September 2025/2026, dalam sesi pendaftaran yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, berkata kehadiran pelajar baharu ini membuktikan keyakinan masyarakat terhadap UPSI sebagai universiti pendidikan unggul negara.

“UPSI bukan sahaja sebuah institusi yang menyampaikan ilmu, tetapi juga tempat membina peribadi dan sahsiah.

Menurut beliau, kehadiran ribuan pelajar dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikan suasana pendaftaran meriah dengan sokongan keluarga yang sanggup hadir bagi menemani anak masing-masing memulakan langkah sebagai warga universiti.

Tambah beliau, proses pendaftaran yang bermula seawal 7.30 pagi berjalan lancar dengan kerjasama 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) bersama Bahagian Keselamatan UPSI.

“Sukarelawan juga berperanan membantu menyusun barisan, mengurus dokumen serta memudahkan urusan ibu bapa bagi meletakkan kenderaan, membantu membawa peralatan diri pelajar dan juga membantu pelajar bagi memudahkan urusan pendaftaran pelajar berkenaan di kampus.

“Sebagai bakal pendidik, mahasiswa di sini mesti menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan adab dan akhlak kerana itulah cerminan sebenar seorang insan yang baik,

Beliau menegaskan bahawa legasi Suluh Budiman yang menjadi tunjang UPSI perlu terus dipelihara oleh setiap generasi mahasiswa.

“Jadilah Anak Kandung Suluh Budiman yang mampu menyinari diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. UPSI percaya pelajar yang menjejakkan kaki ke sini membawa harapan besar untuk menjadi tenaga pengajar, pemimpin dan warganegara yang bertanggungjawab,” ujar beliau.

Sesi pendaftaran turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, bersama barisan pengurusan universiti termasuk Timbalan Pendaftar Kanan, Maskana Ahmad, pengetua kolej kediaman serta kakitangannya.

Pelajar baharu dijadualkan mengikuti Minggu Orientasi pada 29 dan 30 September yang bertujuan memperkenalkan budaya universiti, ekosistem akademik dan kehidupan kampus, selain membina jaringan persahabatan sesama mahasiswa.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.