
Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki menyifatkan tindakan pihak yang berusaha menjatuhkan pemerintah yang adil sebagai perbuatan yang menyerupai golongan Khawarij.
Beliau berkata, masih terdapat pihak yang didakwanya sentiasa merancang untuk menjatuhkan dua pemimpin yang menerajui pentadbiran negeri dan negara, meskipun kedua-duanya disifatkan menjalankan tanggungjawab dengan adil.
“Sekarang masih ada Khawarij-Khawarij yang berfikir siang malam untuk menjatuhkan dua orang tokoh yang mengepalai negeri, mengepalai negara dengan cara adil, membangun negeri, memajukan negara.
“Tapi ada usaha untuk menjatuhkan mereka. Na’uzubillah, na’uzubillah, na’uzubillah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat yang berlangsung di Dataran Muhammadi, di sini, pada 31 Oktober lalu.
Program tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan.
Mengulas lanjut, Syeikh Wazir turut mengaitkan golongan Khawarij dengan sejarah penentangan terhadap kepimpinan Islam pada zaman terdahulu, termasuk konflik yang melibatkan Saidina Ali RA.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha menjatuhkan pemerintah yang adil merupakan perbuatan yang dilarang dalam Islam.
“Haram, haram, haram, haram,” tegasnya sebelum mengakhiri ucapan dengan laungan takbir.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepentingan ukhuwah Islamiah dalam memupuk hubungan baik antara umat Islam meskipun mempunyai perbezaan latar belakang dan fahaman politik.
The post ‘Usaha jatuhkan pemerintah yang adil adalah perbuatan Khawarij’ – Syeikh Wazir appeared first on The Reporter.




