Tokoh ulama Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki berkata sebarang usaha untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan yang bersikap adil adalah haram.
Menurut Syeikh Wazir yang juga merupakan Penasihat Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, perbuatan sebegitu mengingatkan beliau kepada sejarah golongan Khawarij yang menentang pemerintahan Saidina Uthman RA dan berperang dengan Saidina Ali RA.
Memetik Berita Harian, Syeikh Wazir menganggap tindakan itu tidak wajar khususnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang mentadbir kerajaan kini.
“Hukumnya adalah haram! Menjatuhkan kerajaan yang adil, hukumnya adalah haram. Orang yang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang adil adalah (bersifat) Khawarij,” kata Tokoh Turath Islam itu.
Beliau berkata demikian semasa Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di pekarangan Masjid Muhammadi di Pasir Mas, Kelantan kelmarin (31 Oktober).
Program itu turut dihadiri Anwar, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Timbalannya, Marhamah Rosli.
Seorang lagi tokoh ulama, Abdul Rahman Omar pula menyifatkan pihak yang secara berterusan menggugat kepimpinan negara sebagai tidak bersyukur atas nikmat dan kestabilan. Jelas beliau, ia mencerminkan sifat munafik.
Abdul Rahman yang juga Mudir Pondok Aur Cina berkata, pelantikan seorang pemimpin merupakan ketentuan Allah SWT manakala sokongan masyarakat hanyalah salah satu wasilah (jalan) yang membawa kepada perkara tersebut.
“Kita berdoa kepada Allah minta dipanjangkan umur beliau (Anwar) supaya dapat beliau memegang kerajaan ini sepanjang hayat kita, (supaya kita) dapat mengecap lebih banyak lagi nikmat yang akan diberi kepada kita semua, insya-Allah.
”Jadi, manusia ini sebenarnya apa pun tidak senang hati dia itu, itu orang munafik… tak bersyukur atas nikmat Allah… tak bersyukur atas kebaikan pemimpin-pemimpin yang begitu aman… kita tak boleh buat begitu,” katanya.






