Usaha JKKN Melestarikan Warisan Kesenian Mek Mulung

30 Oct 2024 • 3:52 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Usaha JKKN Melestarikan Warisan Kesenian Mek Mulung
Imej dari JKKN

Pada 27 dan 28 Oktober 2024, Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, menjadi tumpuan bagi para peminat seni dan budaya tempatan serta antarabangsa melalui penganjuran Program Lestari Budaya yang merangkumi Simposium Mek Mulung 2024 dan Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung, "Putera Cahaya Bulan" Siri 1.

Acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) dan UiTM Shah Alam ini merupakan usaha komprehensif dalam melestarikan warisan kesenian Mek Mulung yang diiktiraf sebagai "Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera" oleh UNESCO pada Disember 2023.

Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung "Putera Cahaya Bulan" Siri 1 yang berlangsung pada malam 27 dan 28 Oktober menampilkan lakonan penuh emosi, mengisahkan percintaan antara Putera Cahaya Bulan dan Puteri Nang Mara serta konflik dengan Raja Gergasi. Pengarah, Mohd Yusuf Azizan, berjaya menghidupkan kembali keunikan dan nilai seni teater tradisional ini dengan para pelakon seperti Saiful Wazein, Shamsul Nadia, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak dan banyak lagi. Tujuan utama pementasan ini adalah untuk menyemarakkan seni teater tradisional Mek Mulung di mata masyarakat serta memberi platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka.

Image from: Usaha JKKN Melestarikan Warisan Kesenian Mek Mulung
Imej dari JKKN

Simposium Mek Mulung 2024: "Lestari Budaya - Budaya Kita, Masa Depan Kita"

Simposium Mek Mulung 2024 yang berlangsung pada 28 Oktober 2024 mengetengahkan tiga tema utama: Pelestarian Seni Budaya, Mek Mulung ke UNESCO, dan Menggali Kekayaan Budaya Melalui Mek Mulung: Penghayatan dan Pemerkasaan Warisan Seni Tradisional. Dengan kehadiran 10 pembentang kertas kerja dari Malaysia, Indonesia, dan Thailand, acara ini berjaya menyatukan pelbagai perspektif tentang kepentingan dan usaha pelestarian budaya tradisional dalam dunia moden.

Topik-topik yang dibincangkan mencakupi usaha pelestarian seni budaya, Mek Mulung sebagai pusaka tradisional Malaysia, dan kekayaan budaya seni tradisional dari perspektif serantau.

Menurut YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN, “Bukan sahaja simposium, tetapi pementasan Teater Tradisional Mek Mulung ini adalah penting dalam usaha memartabatkan serta memulihara Teater Tradisional Mek Mulung melalui pelbagai kaedah penyampaian.”

Harapan Masa Depan

Acara ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para pembentang dan moderator, serta persembahan penutup oleh UiTM. Para peserta juga dijemput untuk melayari laman sesawang JKKN atau Facebook mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang inisiatif pelestarian budaya.

Simposium Mek Mulung 2024 ini membuka ruang untuk mengupas lebih lanjut tentang masa depan warisan budaya kita, dengan harapan agar generasi akan datang terus menghayati dan memelihara keunikan seni tradisional Malaysia seperti Mek Mulung.