Usaha konservasi jana ekonomi negara melalui pendekatan Living Lab - Pensyarah UMT

Business & FinanceEnvironment
2 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usaha konservasi jana ekonomi negara melalui pendekatan Living Lab - Pensyarah UMT Image from: Usaha konservasi jana ekonomi negara melalui pendekatan Living Lab - Pensyarah UMT liza02/10/2026 - 09:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 2 Okt – Pendekatan living lab (makmal terbuka di lapangan) mampu membuka potensi ekonomi konservasi negara dengan menjadikan usaha pemuliharaan sebagai platform yang menggabungkan penyelidikan, inovasi, pembangunan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak secara berterusan.

 

Ketua Pusat Konservasi Marin, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd Uzair Rusli berkata pendekatan itu membolehkan penyelidik, petugas lapangan, komuniti, agensi kerajaan, syarikat korporat dan industri bersama-sama mengenal pasti masalah, membentuk penyelesaian serta menilai keberkesanannya dalam keadaan sebenar.

 

Menurut beliau, konservasi selama ini banyak dilihat sebagai kerja kebajikan atau perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan apabila terdapat dana untuk diperuntukkan.

 

Katanya, sumbangan seperti itu sememangnya penting kepada petugas lapangan, namun pembiayaan yang bersifat sementara menyukarkan usaha mengekalkan tenaga mahir, mengumpul data secara berterusan dan membangunkan penyelesaian yang memerlukan masa.

 

“Apabila sokongan tamat, hubungan yang telah dibina juga berisiko terhenti sebelum manfaatnya dapat berkembang sepenuhnya,” katanya kepada DagangNews.

 

t
Mohd Uzair Rusli

 

Syarikat korporat boleh bawa kepakaran, bukan sekadar dana

Beliau berkata pendekatan living lab membuka ruang kepada syarikat korporat untuk menyumbang lebih daripada pembiayaan dengan menggunakan kepakaran sedia ada dalam bidang teknologi, logistik, komunikasi, pembangunan perniagaan dan pengurusan.

 

Menurut beliau, rakan teknologi misalnya boleh bekerjasama dengan petugas konservasi dan pengusaha bot untuk membangunkan sistem pemantauan, manakala rakan dalam sektor hospitaliti boleh membina pengalaman pembelajaran berkaitan konservasi yang dikendalikan secara beretika.

 

Katanya, penglibatan aktif korporat memerlukan kesediaan untuk memahami masalah di lapangan, menyumbang kepakaran dan menilai hasil bersama, selain mempunyai pembahagian peranan yang jelas.

 

Pengalaman UMT, katanya, menunjukkan model kerjasama sedemikian sudah dilaksanakan bersama MISC Berhad, Aquaria KLCC, Berjaya Hotels & Resorts, Laguna Redang, Yayasan Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan RHB Islamic Bank.

 

“Kerjasama berkenaan merangkumi sokongan fasiliti, pengangkutan dan penginapan penyelidik, bantuan logistik serta usaha pendidikan awam, manakala makmal terbuka di The Taaras Beach and Spa Resort dan Angsana Hotel Teluk Bahang menghubungkan penyelidikan dengan pengalaman pengunjung,” katanya.

 

t
Chagar Hutang di Pulau Redang, Terengganu - Gambar UMT

 

Pengalaman Chagar Hutang jadi asas

Pendekatan itu turut boleh dimanfaatkan dalam pemuliharaan penyu, dengan pengalaman di Stesen Penyelidikan Alami Penyu Chagar Hutang, Pulau Redang, menjadi antara asas kepada kesinambungan kerja penyelidikan dan konservasi.

 

Beliau berkata sejak 1993, Sea Turtle Research Unit (SEATRU) UMT telah membangunkan penyelidikan dan konservasi penyu di lokasi berkenaan, manakala program sukarelawan yang bermula pada 1998 menyokong pemantauan, penandaan penyu, perlindungan sarang serta penyelidikan.

 

“Pemerhatian yang dikumpulkan secara konsisten selama beberapa dekad membolehkan penyelidik melihat perubahan populasi, termasuk kepulangan individu untuk bertelur, selang masa antara musim pembiakan dan perubahan saiz penyu.

 

“Nilai data tersebut bergantung kepada protokol yang konsisten, latihan petugas, pengesahan data dan penjagaan rekod supaya pemerhatian lama terus boleh digunakan oleh penyelidik pada masa kini,” jelasnya.

 

t
Makmal mini penyu di The Taraas Beach & Spa Resort, Pulau Redang

 

Teknologi boleh bantu fahami ancaman penyu

Beliau berkata konservasi juga perlu bersifat adaptif kerana keadaan alam sekitar dan aktiviti manusia sentiasa berubah.

 

Apabila jumlah pengunjung, bot atau aktiviti meningkat, pengurusan perlu dinilai semula berdasarkan kesannya terhadap hidupan liar dan keupayaan manusia melaksanakannya.

 

Di Pulau Redang, pengalaman lapangan mendorong penelitian terhadap hubungan antara aktiviti di perairan hadapan pantai dengan penyu yang sedang menghampiri kawasan persarangan.

 

Katanya, pengurusan perlu memahami apa yang berlaku sebelum penyu naik ke pasir, termasuk lokasi bot, kepadatan pengunjung dan waktu aktiviti berlangsung.

 

Dalam konteks itu, kerjasama dengan syarikat teknologi boleh membantu menghasilkan sistem pemantauan yang lebih tersusun bersama petugas dan pengusaha bot.

 

Beliau berkata penutupan sesuatu lokasi juga perlu mengambil kira kemungkinan pengunjung beralih ke kawasan lain kerana jika tekanan hanya berpindah ke habitat lain yang sama sensitif, masalah pengurusan masih belum selesai.

 

“Melalui living lab, penyelidik dan pihak berkepentingan boleh membentuk aturan bersama, memantau pelaksanaannya dan menilai perubahan yang diperlukan berdasarkan keadaan sebenar.

 

t
UMT memberi peluang kepada sukarelawan untuk mendalami program konservasi penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang

 

Konservasi buka peluang ekonomi komuniti

“Pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah boleh membuka peluang kepada komuniti pesisir untuk membangunkan kemahiran dan kegiatan ekonomi yang sesuai dengan keadaan setempat.

 

“Pemandu bot yang memahami biologi penyu, pengusaha bot yang mematuhi aturan serta penyedia penginapan dan makanan boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman konservasi yang berkualiti,” katanya.

 

Universiti dan industri pula boleh membantu menyediakan latihan, mereka bentuk perkhidmatan serta menilai manfaat supaya komuniti mempunyai ruang untuk mempengaruhi pembangunan yang berlaku di kawasan mereka.

 

Bagi pengunjung antarabangsa, pengalaman konservasi boleh menggabungkan alam, ilmu, kebudayaan dan kemanusiaan, termasuk memahami bagaimana masyarakat menjaga sumber, bagaimana keputusan dibuat dan bagaimana pengetahuan dibina melalui kerja bersama.

 

Pengalaman itu, katanya, boleh memperkaya pelancongan sambil memastikan kehadiran pengunjung turut menyokong perlindungan ekosistem.

 

t

 

Korporat perlu buktikan hasil sumbangan

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama konservasi boleh memberi asas lebih kukuh kepada reputasi dan pelaporan kelestarian syarikat sekiranya sumbangan yang diberikan disokong oleh bukti.

 

Beliau merujuk GRI 101: Biodiversity 2024 sebagai kerangka untuk melaporkan impak berkaitan biodiversiti serta cara organisasi menguruskannya.

 

“Laporan kerjasama konservasi perlu menjelaskan sasaran, kaedah penilaian dan hasil sebenar, termasuk batas pengetahuan yang masih ada.

 

“Reputasi yang berkekalan lahir daripada tindakan yang boleh diteliti,” katanya dan menegaskan penajaan konservasi perlu seiring bersama usaha syarikat mengurus kesan operasinya sendiri terhadap alam sekitar.

 

Menurut beliau, apabila peranan dan bukti dinyatakan dengan jujur, living lab boleh membantu korporat memahami tanggungjawabnya dengan lebih mendalam, manakala universiti dan komuniti memperoleh rakan yang turut membina keupayaan untuk menyelesaikan masalah.

 

t

 

Perlu platform jangka panjang

Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya satu platform living lab konservasi marin atau penyu dibangunkan di negeri-negeri yang terkenal dengan pendaratan penyu, dengan memanfaatkan organisasi lapangan yang sudah sedia ada.

 

Katanya, keutamaan adalah mengukuhkan usaha yang telah berjalan menerusi kerjasama universiti, agensi kerajaan, komuniti dan korporat supaya pengetahuan serta sumber dapat digunakan dengan lebih berkesan.

 

Universiti pula mempunyai tanggungjawab untuk menjaga mutu saintifik, kesinambungan pasukan dan integriti kerjasama, selain membuka ruang kepada ahli biologi, jurutera, ahli ekonomi dan penyelidik sosial untuk bekerjasama.

 

Antara perkara yang boleh dikaji termasuk reka bentuk alat pemantauan, tingkah laku pengunjung, pengagihan manfaat ekonomi dan keberkesanan latihan.

 

Untuk memastikan model itu berkesan, beliau berkata pihak berkepentingan perlu dilibatkan sejak peringkat awal, manakala living lab perlu dibina sebagai platform penyelidikan yang boleh diinstitusikan supaya data yang dikumpul dapat dipelihara merentas generasi.

 

Dapatan penyelidikan juga perlu dikembalikan kepada pihak yang membantu membangunkannya melalui taklimat, pendidikan dan komunikasi awam, selain menyediakan ruang maklum balas.

 

t

 

Impak konservasi perlu diukur

Dari segi pembiayaan, beliau mencadangkan gabungan peruntukan awam, komitmen korporat berbilang tahun, geran penyelidikan dan pendapatan pendidikan yang sesuai mengikut keadaan setiap lokasi.

 

Petunjuk prestasi pula perlu merangkumi keadaan habitat, mutu data, keberkesanan aturan dan manfaat kepada komuniti, manakala jumlah aktiviti hanya menjadi rekod pelaksanaan.

 

“Peningkatan jumlah sarang atau pendapatan juga perlu ditafsir dengan teliti sebelum dikaitkan kepada sesuatu intervensi.

 

“Pendekatan itu selari dengan konsep Ekonomi Biru oleh Bank Dunia yang menghubungkan penggunaan sumber laut secara lestari dengan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan kesejahteraan sambil memelihara kesihatan ekosistem laut.

 

“Pengalaman Chagar Hutang menunjukkan kerja saintifik dan konservasi boleh dikekalkan merentas generasi dan asas itu boleh diperluas melalui rakan korporat yang bersedia membina platform, menyumbang kepakaran serta memikul tanggungjawab bersama.

 

“Universiti, korporat dan kerajaan mempunyai keupayaan yang saling melengkapi untuk menjadikan konservasi sebahagian daripada pembangunan negara yang membina ilmu, membuka peluang kepada komuniti dan menjaga khazanah bagi generasi akan datang,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved