Suri rumah, ibu tunggal perlu ada kemahiran jana pendapatan

29 Sep 2026 • 1:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suri rumah, ibu tunggal perlu ada kemahiran jana pendapatan

GEORGE TOWN – Golongan wanita khususnya suri rumah dan ibu tunggal perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang mampu menjana pendapatan sendiri bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Ketua Aktivis Surplus, Sophian Mohd. Zain berkata, usaha memperkasakan wanita perlu dilaksanakan melalui ilmu, latihan dan teknologi supaya golongan berkenaan mampu berdikari serta mempunyai sumber pendapatan yang lebih mampan.

Menurut beliau, program seperti Sparkle Through Speech 4.0: Empowering Women in Pulau Pinang Through Craft, English Communication, and Social Enterprise Awareness mampu membuka ruang kepada wanita untuk membangunkan potensi diri menerusi kemahiran praktikal.

“Sparkle Through Speech 4.0 merupakan satu usaha yang sangat bermakna dalam membantu wanita Madani daripada golongan B40 mengembangkan kebolehan, keyakinan dan potensi diri.

“Program ini bukan sekadar mengajar kemahiran, malah membuka jalan kepada peserta untuk berdikari, menjana pendapatan dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, penganjuran program berkenaan turut memberi tumpuan kepada golongan B40, warga emas, wanita orang kurang upaya (OKU), wanita yang tidak bekerja atau kehilangan pekerjaan serta golongan wanita luar bandar.

Sementara itu, Pengasas Sparkle Through Speech, Marni Jamil berkata, program berkenaan diwujudkan bagi menyediakan ruang pembelajaran yang selamat, inklusif dan praktikal kepada wanita yang kurang mendapat akses kepada latihan serta peluang pembangunan diri.

Katanya, peserta didedahkan dengan kemahiran menghasilkan kraf batik selain komunikasi Bahasa Inggeris, penggunaan teknologi digital seperti iPad dan Apple Keynote serta teknik pembentangan produk.

“Kami mahu setiap peserta menyedari bahawa mereka mempunyai bakat, nilai dan keupayaan untuk maju.

“Gabungan kraf batik, komunikasi Bahasa Inggeris, teknologi digital dan pembentangan produk dirancang untuk membantu peserta bergerak daripada sekadar menghasilkan produk kepada kemampuan memperkenalkan serta memasarkannya dengan yakin,” katanya.

Menurutnya, pendedahan berkaitan keusahawanan sosial turut penting bagi membantu peserta memahami asas pembangunan produk, membina identiti perniagaan dan mempromosikan hasil kraf secara lebih profesional.

“Harapan kami adalah supaya ilmu yang diperoleh dapat membina kemandirian, peluang ekonomi dan masa depan yang lebih cerah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Suri rumah, ibu tunggal perlu ada kemahiran jana pendapatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved