Usahawan mikro tulang belakang ekonomi negara

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Usahawan mikro tulang belakang ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Usahawan mikro merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negara yang perlu terus diperkasa bagi memastikan mereka mampu membina sumber pendapatan lebih mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, golongan itu turut mencerminkan semangat keusahawanan rakyat Malaysia menerusi peranan mereka dalam menggerakkan ekonomi dan komuniti setempat.

“Usahawan mikro merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negara dan mencerminkan semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

“Dengan pelbagai sokongan serta inisiatif yang disediakan kerajaan, saya yakin usaha ini akan membantu usahawan mikro membina sumber pendapatan lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival BSN Mikro Madani di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN), hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan juga mahu memastikan limpahan daripada pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai oleh PMKS di seluruh negara.

Katanya, prestasi ekonomi negara yang berkembang enam peratus pada suku kedua menunjukkan perkembangan positif yang perlu diterjemahkan kepada peluang lebih luas untuk rakyat.

“Apa yang kita mahu usahakan ialah memastikan limpahan daripada perkembangan KDNK negara turut sampai ke semua pelosok negara dan mencakupi PMKS,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujiburrahman Abd Rashid berkata, sokongan institusi kewangan itu terhadap usahawan tidak hanya tertumpu kepada aspek pembiayaan, sebaliknya merangkumi usaha membantu mereka membina perniagaan mampan.

“Menerusi ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, kami mahu meraikan kisah rakyat biasa dan impak positif yang mampu diwujudkan keusahawanan dalam sesebuah komuniti.

“Di BSN, sokongan kami melangkaui pembiayaan. Kami mahu bergerak bersama usahawan ketika mereka membina perniagaan mampan dan mewujudkan peluang kepada masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.

Karnival BSN Mikro Madani merupakan kemuncak kempen selama sebulan, Cerita Mereka, Jiwa Malaysia, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dengan mengetengahkan 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

Setakat ini, hampir 180,000 usahawan mikro menerima sokongan BSN dalam usaha memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi mampan negara. – KOSMO! ONLINE

The post Usahawan mikro tulang belakang ekonomi negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved