
KUMPULAN Jazz Orkestra Bayu Ritma Sementa (BRS), yang baru berusia empat bulan sejak dibentuk semula mencipta kejutan apabila muncul sebagai juara Pertandingan Jazz Orkestra Peringkat Negeri 2026 sekali gus mengesahkan tiket untuk mewakili Sabah ke peringkat kebangsaanKumpulan yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih Nick Arddley Nicholas bersama pembantu jurulatih Nick Auddrey Nicholas dan Aerence Judih bakal membawa nama Sabah ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung pada 28 hingga 30 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Terengganu, Terengganu.
BIARPUN terdiri daripada ramai pemain baru dan tempoh latihan singkat, BRS berjaya mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.
Arddley berkata kejayaan terbabit cukup bermakna memandangkan BRS baru sahaja melalui proses pembentukan dan latihan intensif selama kira-kira empat bulan.
Memuji semangat anak buahnya, Arddley berkata “dalam tempoh yang singkat itu, mereka berjaya membentuk sebuah persembahan yang bukan sahaja mantap dari segi muzik malah berani mengetengahkan pendekatan susunan muzik yang berbeza daripada kebiasaan pertandingan,” katanya kepada Hiburan Ekspres pada Jumaat.
Seri Langkat diberi nafas baharuAntara keunikan persembahan BRS ialah gubahan lagu klasik Melayu Seri Langkat yang diberikan nafas baharu menerusi pendekatan Strange Arrange Jazz, selain mengetengahkan pelbagai elemen dan gaya muzik seperti Jazz Latin, Swing, Neo-Soul, R&B dan Progressive Jazz.
Pendekatan itu menjadi antara identiti utama BRS dalam menghasilkan persembahan yang segar, berani dan bersesuaian dengan karakter serta kemampuan pemain.
Arddley berkata perjalanan membentuk semula BRS bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau bersama guru-guru yang berdedikasi dari SMK Tambunan iaitu Cikgu Delna Atil, Cikgu Frenysia Frencis dan Cikgu Macrena Yubong perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam tempoh latihan yang singkat.
“Antara cabaran terbesar kami adalah dari segi pengalaman dan asas muzik pemain khususnya dalam kalangan pemain alat muzik tiupan yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas muzik yang kukuh.
“Namun begitu, kekurangan pengalaman tidak menjadi penghalang untuk BRS tampil bersaing dengan kumpulan-kumpulan lain yang mempunyai pemain lebih berpengalaman,” katanya.
Menurut Arddley yang juga pemenang Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) 2022 berkata kekuatan sesebuah orkestra bukan hanya bergantung kepada kemahiran pemain tetapi turut dipengaruhi oleh kebijaksanaan seorang penggubah lagu dalam menyesuaikan sesebuah karya dengan kemampuan pemain.
“Cabaran terbesar seorang arranger (penggubah lagu) adalah bagaimana mencipta satu susunan muzik untuk pemain baru (beginner) tetapi membuatkan mereka kedengaran hebat dan tidak berbunyi seperti beginner.”“Prinsip inilah yang menjadi antara pendekatan utama yang diterapkan dalam proses pembentukan BRS. Setiap susunan muzik perlu mengambil kira tahap kemampuan pemain namun pada masa yang sama tetap memberikan ruang kepada mereka untuk menghasilkan bunyi dan persembahan yang berkualiti,” katanya.
Empat bulan, satu misiDengan semangat, komitmen dan dedikasi yang tinggi sepanjang tempoh latihan, pemain BRS berjaya membuktikan bahawa tempoh pengalaman bukanlah satu-satunya ukuran untuk tampil dengan persembahan yang berkualiti.
Hanya dalam tempoh empat bulan, kumpulan terbabit berjaya membentuk persembahan yang mantap sehingga membawa mereka menjuarai Pertandingan Jazz Orkestra Peringkat Negeri 2026 dan seterusnya dipilih sebagai wakil Sabah ke peringkat kebangsaan.
“Kejayaan ini turut memperlihatkan potensi besar bakat muda Sabah dalam bidang muzik khususnya dalam genre jazz dan muzik orkestra.
“Di sebalik kejayaan pemain, sokongan ibu bapa turut menjadi antara faktor penting dalam perjalanan BRS.
“Pihak jurulatih dan pengurusan BRS menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar yang sentiasa memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen terhadap penglibatan anak-anak mereka dalam bidang muzik,” katanya.
Arddley berkata sokongan itu bukan sahaja membantu dari segi penyertaan dan latihan malah memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mengembangkan bakat serta keyakinan mereka sebagai pemuzik muda.
“Kini, selepas mencipta kejayaan di peringkat negeri, BRS bakal berdepan cabaran yang lebih besar di pentas kebangsaan di Terengganu pada 28 hingga 30 September 2026.
“Dengan pengalaman yang masih baharu tetapi semangat yang luar biasa, BRS membawa satu misi besar mengharumkan nama Sabah dan membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat, kerja keras dan sokongan komuniti, pemain yang baru bermula juga mampu berdiri di pentas kebangsaan dan menghasilkan bunyi yang luar biasa,” katanya.






