Usir keluar warga Israel hanya penguatkuasaan dasar sedia ada – Khaled Nordin

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 12:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Usir keluar warga Israel hanya penguatkuasaan dasar sedia ada – Khaled Nordin

JOHOR BAHRU: Pendirian Malaysia untuk mengusir keluar mana-mana warganegara Israel yang didapati berada dalam negara hanyalah penguatkuasaan terhadap dasar dan polisi yang telah lama diamalkan negara ini.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan akan kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf kewujudan negara berkenaan, apatah lagi mengadakan jalinan kerjasama.

“Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) itu kemukakan pandangan kepada kerajaan mereka, jadi itu antara mereka dan kerajaan mereka. Sebaliknya sikap kita terhadap Israel telah diamalkan sejak dahulu lagi.

“Isu yang berbangkit melibatkan Network School itu hanyalah pelaksanaan terhadap dasar yang telah lama kita amalkan. Semua orang tahu dasar kita tidak mengiktiraf Israel, itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung tindakan lapan Ahli Kongres AS yang menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir segera rakyat Israel sekiranya didapati berada di Malaysia.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun berkata, kerjasama antara Malaysia dan AS khususnya menerusi latihan dan pendidikan ketenteraan masih berjalan seperti biasa di negara berkenaan.

“Masih lagi berjalan, kita hantar pegawai-pegawai kita untuk mengikuti kursus-kursus dan latihan, ada tempoh setahun, setahun setengah dan juga dua tahun. Jika AS mahu bekukan kerjasama itu, terpulanglah kepada mereka, ia juga tidak melibatkan sebarang dana sebaliknya hanya pembiayaan menerusi Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET).

“Tetapi mereka perlu imbangkan, dasar itu sudah lama ada cuma apabila hendak dikuatkuasakan, Malaysia boleh kata itu dasar lama dan sepatutnya tidak menjadi masalah, kerana tiada apa-apa yang berbeza.

Pada 16 Julai lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata mana-mana rakyat Israel yang mempunyai dua ke­rakyatan dan dikenal pasti masuk ke negara ini termasuk untuk menyertai Network School di Forest City, Johor akan dihantar pulang dengan segera.

Beliau dilaporkan berkata, semua agensi berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain-lain sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan berkenaan.-UTUSAN

The post Usir keluar warga Israel hanya penguatkuasaan dasar sedia ada – Khaled Nordin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved