Dasar Malaysia terhadap Israel tidak pernah berubah - Mohamed Khaled

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dasar Malaysia terhadap Israel tidak pernah berubah - Mohamed Khaled
Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2026 pada Sabtu. Foto Bernama

PASIR GUDANG - Pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel serta menyekat kemasukan warganegara negara itu bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan dasar yang telah lama diamalkan kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang tindakan menguatkuasakan larangan terhadap individu dari Israel, termasuk membabitkan operasi rangkaian sekolah antarabangsa, adalah sebahagian daripada pelaksanaan dasar sedia ada.

Menurutnya, dasar Malaysia terhadap Israel kekal konsisten dan tidak pernah berubah walaupun berdepan pelbagai tekanan daripada pihak luar.

"Kita soal hubungan ataupun sikap kita terhadap Israel. Dasar itu memang telah diamalkan daripada dulu. Apa yang berlaku sekarang hanyalah pelaksanaan dasar kita.

"Kalau ada orang Israel, tindakan mengusir atau tidak membenarkan mereka masuk adalah pelaksanaan kepada satu dasar yang semua orang sudah tahu iaitu Malaysia tidak mengiktiraf negara Israel," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan berkenaan.

Lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Anwar berkata, pendirian Malaysia berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat Palestin serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku di Gaza.

Mengulas gesaan lapan Ahli Kongres AS yang menyuarakan pandangan kepada kerajaan negara itu berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel, Mohamed Khaled berkata, perkara berkenaan adalah urusan antara mereka dengan kerajaan AS.

"Itu pandangan Ahli Kongres. Itu antara mereka dengan kerajaan mereka. Dasar Malaysia tetap sama dan tidak berubah," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved