Ustaz Don Dilarang Ceramah Di Masjid, Surau Seluruh Selangor

24 Jun 2024 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar tangkap layar

Kontroversi yang melibatkan penceramah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don nampaknya masih belum berpenghujung apabila dia sekali lagi menjadi bualan ramai.

Kali ini susulan tindakan kerajaan negeri Selangor menangguhkan semua program ceramah dan kuliah agama membabitkan pendakwah selebriti itu.

Penangguhan yang terpakai di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musollah itu ternyata mengejutkan banyak pihak, namun sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan negeri atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 

Memetik laporan Kosmo Online, Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad menegaskan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara ini pada hari ini (Isnin). 

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp mengenai notis JAIS berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama membabitkan Ustaz Don. 

image is not available
Notis larangan berceramah ke atas Ustaz Don yang dikeluarkan JAIS

Notis bertarikh 21 Jun 2024 itu merupakan arahan supaya semua agensi dan institusi masjid, surau serta musollah di Selangor menangguhkan semua program ceramah membabitkan penceramah itu.

"Sehubungan itu, sebarang program ceramah atau kuliah membabitkan Yang Berbahagia, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan.

"Penangguhan membabitkan semua program yang sudah pun mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan. Sebarang perubahan berkaitan penangguhan ini akan dimaklumkan semula," jelas notis yang ditandatangani oleh Mohd Shahzihan itu. – Getaran, 24 Jun, 2024