IPOH - Keadaan kesihatan Datuk Mohammad Kazim Elias dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini.
Bagaimanapun, penceramah bebas yang dikenali sebagai Ustaz Kazim itu masih lemah dan memerlukan rehat berterusan.
Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis berkata, sekiranya tahap kesihatannya terus menunjukkan peningkatan, Ustaz Kazim mungkin dipindahkan ke wad dalam tempoh sehari dua ini.
"Rupanya apabila dibuat pemeriksaan rapi, ada lagi masalah-masalah lain berkaitan jantung yang memerlukan rawatan susulan selepas ini.
"Hari ini beliau sudah mula boleh bercakap walau suaranya agak tersekat-sekat dan minta disuapkan sedikit juadah untuk sarapan pagi. Perubahan ini melegakan kami ahli keluarga," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak menziarahi buat masa ini kerana hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan masuk ke ICU.
"Berilah beliau berehat sepenuhnya, cuma apa yang boleh kita lakukan, berdoa diberi kesembuhan segera," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau itu turut berkongsi kekecewaan terhadap segelintir pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat termasuk menggunakan gambar yang diubah suai di media sosial.
“Sebarang perkembangan hanya boleh dirujuk kepada keluarga terdekat dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Mohammad Kazim, 54, dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung sempit yang memerlukan prosedur memasukkan belon bagi melancarkan aliran darah.






