
PENDAKWAH terkenal, Ustaz Datuk Kazim Elias menjadi perhatian warganet selepas memuat naik hantaran media sosial yang mengundang tanda tanya.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau dilihat memakai pakaian hospital dan ditolak menggunakan kerusi roda sambil menulis kapsyen ringkas, ‘doakan saya’, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengikutnya.
Menurut abang pendakwah itu, Datuk Mohd Najmuddin Elias, Ustaz Kazim atau nama penuhnya Mohammad Kazim, menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Ipoh susulan saluran jantung sempit.
Difahamkan, Ustaz Kazim dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung sempit yang memerlukan prosedur memasukkan belon bagi melancarkan aliran darah.

“Ya betul, sekarang di ICU selepas dimasukkan belon bagi melancarkan dan meluaskan saluran jantung yang sempit.
“Selepas satu belon dimasukkan, doktor mendapati terdapat satu lagi saluran sempit yang memerlukan tambahan satu belon lagi,” katanya.
Artikel berkaitan:
- “Saya tak paksa orang percaya, minta simpati…” Ustaz Kazim nafi mahu publisiti, glamour, tegaskan sihir itu wujud
- "Dia sakit tidak seorang pun yang tahu," - Pemergian Adibah Noor beri pengajaran buat Ustaz Kazim
- [VIDEO]Sebulan tak boleh kencing, keluar jarum dari perut, Ustaz Kazim buang 'makeup', kongsi keadaan sebenar di live TV
Beliau berkata, terdahulu, Ustaz Kazim mengalami kesakitan yang teramat sangat.
"Buat masa ini pihak hospital tidak membenarkan lawatan kecuali isteri beliau," katanya.
Dalam pada itu, Najmuddin merayu solat hajat dan doa daripada mereka yang mengenali adiknya.
"Saya merayu kepada semua peminat peminatnya dan pencinta pencinta ilmu seluruh pelusuk dunia supaya solat hajat dan berdoa agar dia kembali sembuh demi meneruskan usaha dakwah dan menguruskan Al barakah yang diterajuinya.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersimpati dan mendoakannya. Sebarang perkembangan saya akan maklumkan dari masa ke semasa. Terima kasih," kongsinya.
Sehubungan itu, Mohd Najmuddin memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan adiknya supaya dapat kembali meneruskan usaha dakwah seperti biasa.
Ustaz Kazim terdahulu pernah mengalami masalah jantung tersumbat dan mengalami serangan jantung pada 19 Feb 2016.






