Ustaz Wadi Annuar dibenar keluar hospital

23 Oct 2026 • 12:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ustaz Wadi Annuar dibenar keluar hospital

IPOH – Penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 45 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli kira-kira pukul 1.30 pagi tadi telah dibenarkan keluar dari Hospital Gerik.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin yang turut memberitahu, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan itu tidak melibatkan sebarang kematian.

Beliau berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah menerima makluman berhubung kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Toyota Vellfire awal pagi tadi.

“Kemalangan tersebut melibatkan lapan orang individu, dengan empat orang mengalami kecederaan manakala empat lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiada kematian dilaporkan setakat ini. Antara individu yang terlibat ialah seorang penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik hilang kawalan ketika melalui selekoh di permukaan jalan yang basah selepas hujan.

Katanya, kereta itu memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan.

Menurut beliau, ia kemudian bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang berada di belakang Perodua Bezza tersebut.

“Akibat kejadian tersebut, dua orang penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan, masing-masing patah tangan kiri dan mengalami pendarahan pada bahagian kepala.

“Sementara itu, dua orang penumpang Toyota Vellfire mengalami luka pada bahagian bibir dan mengadu sakit pada bahagian dada,” katanya.

Mohd. Alwi berkata, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan di Hospital Gerik sebelum dua mangsa dirujuk ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh, basah selepas hujan dan gelap tanpa kemudahan lampu jalan. Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Media hari ini melaporkan penceramah tersebut mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut setelah terlibat dengan kemalangan di JRTB ketika dalam perjalanan ke Gerik.

Hantaran di laman Facebooknya kemudian memaklumkan beliau berada dalam keadaan stabil biarpun mengalami kecederaan ringan. – KOSMO! ONLINE

The post Ustaz Wadi Annuar dibenar keluar hospital appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved