
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun meluahkan rasa sebak terhadap keikhlasan seorang bapa yang memaafkan guru terlibat dalam insiden kemalangan yang meragut nyawa anaknya di sebuah sekolah di Kota Bharu.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau mengakui tersentuh dengan kata-kata bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, yang memilih untuk memaafkan walaupun kehilangan anak tersayang dalam kejadian tersebut.
“Allahu Akbar… berita ini sudah cukup menyayat hati, namun apabila ayahnya berkata ‘saya maafkan guru itu’, ia benar-benar menyentuh perasaan,” tulisnya.
Menurut beliau, tindakan memaafkan dalam keadaan penuh ujian seperti itu bukan sesuatu yang mudah, malah mencerminkan keimanan yang tinggi serta sifat reda terhadap ketentuan Ilahi.
Tambahnya, memaafkan bukan sekadar melepaskan kesalahan orang lain, tetapi satu ibadah yang mampu mengangkat darjat seseorang di sisi Allah.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan doa buat arwah Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, agar ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta diberikan ganjaran terbaik di sisi-Nya.
Ustazah Asma’ turut mengingatkan bahawa tragedi tersebut bukan sekadar kisah duka, sebaliknya menjadi pengajaran tentang iman, kesabaran dan keikhlasan dalam memaafkan.
Terdahulu, insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas itu mengejutkan ramai apabila seorang pelajar maut selepas dirempuh kenderaan dalam kawasan sekolah, manakala seorang lagi pelajar cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).






