Kes Pelajar Maut Dilanggar Di Sekolah: Bapa Nur Fatimatul Hawa Reda & Maafkan Guru

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 5:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 12 April, media melaporkan satu kemalangan maut yang membabitkan seorang pelajar perempuan di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bahru, Kelantan selepas pemandu jenis Honda HR-V tertekan pedal minyak sebelum terbabas melanggar pelajar berkenaan.

Insiden yang berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari itu melibatkan dua orang pelajar perempuan. Nur Fatimatul Hawa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan sedang menerima rawatan di Zon Merah di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.

Ekoran daripada insiden itu, pemandu yang juga guru Pendidikan Islam telah direman selama dua hari untuk membantu siasatan berhubung kes terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah: Guru Dibawa Ke Mahkamah Untuk Tahanan Reman

Bapa maafkan guru langgar Nur Fatimatul Hawa

Terbaharu bapa kepada arwah, Nur Fatimatul Hawa memaklumkan dia memaafkan ustazah berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

“Sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan dan selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” luah bapa mangsa.

Reda dengan takdir kemalangan melibatkan arwah anak

Mohd Azaudin Abdullah, 43, menjelaskan dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis berhubung kemalangan melibatkan arwah anaknya, Nur Fatimatul Hawa.

“Namun di pihak saya sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan. Saya juga reda dengan takdir yang menimpa anak saya dan kami sekeluarga.

“Malah ketika berada di lokasi semalam (12 April) pun sebaik melihat jasad anak terbujur kaku, saya hanya bertanya siapa yang melanggar anak saya dan guru berkenaan mengaku bahawa dia yang melanggar Fatimatul Hawa.

“Namun saya tidak berkata apa-apa termasuk memarahinya dan sebaliknya hanya berdiam diri,” jelas bapa kepada empat orang anak itu, lapor Harian Metro.

Bapa berkenaan turut memaklumkan pihaknya membuat majlis tahlil yang dijangka akan dilakukan pada malam ini (13 April) di surau berdekat rumah di Kampung Chepa.

Sebagai info, jenazah arwah Fatimatul Hawa selamat disemadikan di sebelah pusara ibunya pada malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Gayong dekat Taman Uda Murni, Kelantan.