
KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Islam tidak lagi memandu selepas insiden dia tertekan pedal minyak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V sehingga meragut nyawa seorang pelajar manakala seorang lagi cedera parah di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, enam bulan lalu.
Suami kepada Sakinah Ismail, 57, yang mahu dikenali sebagai Abdul berkata, kejadian itu menyebabkan isterinya trauma sehingga tidak berani memandu kereta.
Katanya, dia ketika ini menghantar dan mengambil isterinya dari tempat kerja setiap hari.
“Selepas kejadian itu, isteri tidak lagi memandu kereta kerana masih trauma tragedi yang berlaku.
“Saya tidak mahu komen lanjut. Isteri akan bersara pada November tahun depan dan kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi isterinya menghadiri prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang guru Pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan melanggar seorang lagi pelajar dengan sebuah SUV di kawasan surau SMK Tanjung Mas di sini, enam bulan lalu.
Sakinah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa telah menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan surau SMK Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 12 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sakinah dituduh dengan cuai melanggar Zara Akhtar Zamzuri, 13, menggunakan sebuah SUV jenis Honda HR-V sehingga membahayakan nyawanya di lokasi, tarikh dan pada waktu yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Ustazah trauma rempuh pelajar, enam bulan tidak memandu kenderaan appeared first on Kosmo Online.






