Kertas siasatan kemalangan kanak-kanak di Jalan Kuching dirujuk ke pendakwa raya

13 Oct 2026 • 2:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pegawai polis jatuh

PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching yang mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Beliau berkata, pemandu terbabit masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta manakala pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan serta memantau keadaan pemandu berkenaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada DPP secepat mungkin setelah siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal.

Pelanggaran tersebut turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC, lelaki berusia 33 tahun, cedera di bahagian kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN

The post Kertas siasatan kemalangan kanak-kanak di Jalan Kuching dirujuk ke pendakwa raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved