
GUA MUSANG – Anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer pergi dan balik melalui landasan kereta api bagi membawa keluar mayat seorang wanita dari Kampung Serian, Batu 11, di sini semalam.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu dipercayai meninggal dunia akibat masalah jantung, namun mayatnya tidak dapat dibawa keluar kerana laluan masuk ke kampung berkenaan ditenggelami air susulan hujan lebat pada malam sebelumnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Katanya, seramai empat anggota bomba dan empat anggota APM digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat berkenaan.
“Kami mendapati satu-satunya cara untuk membawa keluar mayat mangsa adalah dengan berjalan kaki melalui landasan kereta api. Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer sebelum tiba di lokasi.
“Jarak dari lokasi trak pikap yang diletakkan ke rumah mangsa kira-kira dua kilometer dan kami juga perlu melalui jambatan kereta api,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Muhammad Azrul Izzham memberitahu, mereka bergilir-gilir mengusung jenazah menggunakan pengusung sejauh dua kilometer ke lokasi kenderaan dengan bantuan 12 penduduk kampung.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bertam di sini untuk diserahkan kepada petugas kesihatan bagi tujuan pengesahan kematian.
“Operasi tamat kira-kira pukul 11.30 pagi. Operasi kali ini agak mencabar kerana kami perlu melalui jambatan kayu di tepi landasan kereta api,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Usung mayat wanita sakit jantung sejauh 2km di landasan kereta api appeared first on Kosmo Online.




