UTeM nikmati 410 titik Wi-Fi, menara 4G baharu

LocalTechnology
15 Aug 2026 • 9:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UTeM nikmati 410 titik Wi-Fi, menara 4G baharu

MELAKA: Lebih 12,000 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal menikmati kemudahan internet lebih pantas dan stabil menerusi penaiktarafan infrastruktur digital melibatkan penyediaan 410 titik capaian Wi-Fi serta sebuah menara komunikasi 4G baharu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, inisiatif di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu dilaksanakan bagi memperkukuh keperluan pembelajaran, pengajaran dan latihan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Katanya, daripada keseluruhan 410 titik capaian Wi-Fi atau Access Point (AP) yang dirancang, sebanyak 108 AP telah mula beroperasi sejak Jun tahun lalu menerusi Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Fasa 2.

“Sebanyak 302 AP tambahan pula sedang dilaksanakan menerusi Fasa 3 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 23 September depan.

“Selain itu, sebuah menara komunikasi 4G baharu turut dibangunkan di kawasan UTeM dan dijangka siap pada November 2026. Kemudahan ini akan membantu memperkukuh liputan komunikasi serta meningkatkan kualiti dan pengalaman penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan warga kampus.

“Sebagai sebuah universiti teknikal, capaian Internet yang stabil, pantas dan berkapasiti tinggi amat penting bagi menyokong penggunaan makmal pintar, perisian kejuruteraan berasaskan awan, simulasi digital serta pelbagai aplikasi pembelajaran yang menjadi sebahagian daripada ekosistem TVET moden.,” katanya hari ini.

Terdahulu, Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan, Ts. Rizal Abd. Malek yang mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini meninjau pelaksanaan projek berkenaan di kampus UTeM bagi melihat kemajuan penaiktarafan infrastruktur digital serta menilai keperluan ketersambungan dalam kalangan warga universiti.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Mohd. Rizal Salleh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohd. Sharif; Ketua Jabatan Hal Ehwal Kerajaan dan Pemberian Perkhidmatan Sejagat Maxis Berhad, Mohd. Fuad Romeli; Pengarah Projek Acoda Towers Sdn. Bhd., Tuan Haji Ahmad Faisal serta Pengarah Projek Citaglobal Telecommunication Sdn. Bhd., Mohammad Faisal Adnan.

MCMC berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Komunikasi menerusi suruhanjaya itu dalam memperkukuh ketersambungan digital di IPTA, selaras dengan perubahan teknologi serta keperluan pendidikan masa kini.

“Ketersambungan digital yang lebih baik bukan sahaja memudahkan akses kepada sumber pembelajaran, malah membantu menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengalaman digital yang bersesuaian dengan kehendak industri.

“Penaiktarafan infrastruktur digital di UTeM juga dijangka menyumbang kepada pengukuhan ekosistem TVET negara, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan graduan dalam menghadapi perubahan teknologi dan memenuhi keperluan pembangunan bakat digital serta teknikal negara,” katanya.-UTUSAN

The post UTeM nikmati 410 titik Wi-Fi, menara 4G baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved