Wanita PKR mahu wajah baharu diberi ruang memimpin

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 10:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita PKR mahu wajah baharu diberi ruang memimpin

MELAKA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu lebih banyak ruang diberikan kepada wajah baharu untuk tampil memimpin dan meneruskan perjuangan reformasi parti.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, perjuangan parti masih panjang dan perlu diteruskan oleh generasi pelapis yang mampu mendepani cabaran politik, ekonomi serta sosial semasa.

Beliau turut menyeru ahli sayap supaya terus bersatu dan berjuang mempertahankan prinsip parti.

“Kita mesti terus memberikan ruang kepada hulubalang-hulubalang baharu untuk memimpin dan memberikan mereka ruang sepenuhnya.

“Fokus kepada perjuangan. Saya sangat yakin dan percaya bahawa perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hari ini, Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR Ke-19 menghimpunkan seramai 757 perwakilan dan 304 pemerhati dari seluruh negara.

Bertemakan Memugar Reformasi, Membina Madani, kongres itu menjadi medan untuk menilai pencapaian organisasi, memperbaharui iltizam perjuangan reformasi serta merangka hala tuju sayap berkenaan dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial semasa.

Kongres itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi, memperkasakan kepimpinan wanita dan memperluas penyertaan golongan tersebut dalam proses membuat keputusan.

Antara agenda yang diketengahkan termasuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), institusi pembuat keputusan serta kepimpinan organisasi.

Selain itu, kongres tersebut turut membincangkan usaha memperluas peluang ekonomi, pekerjaan, latihan kemahiran dan keusahawanan wanita serta menangani isu keganasan rumah tangga, gangguan seksual, diskriminasi dan eksploitasi terhadap wanita serta kanak-kanak.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang merasmikan kongres berkenaan serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim. –UTUSAN

The post Wanita PKR mahu wajah baharu diberi ruang memimpin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved