Dengan pelancaran konsol permainan komputer Steam Machine, Valve juga telah memperkenalkan versi terbaru sistem operasi mereka, SteamOS 3.8. Sistem operasi ini boleh dimuat-turun oleh mereka yang menggunakan perkakasan CPU dan kad grafik AMD buat masa ini, untuk mereka yang mahu membina komputer ruang tamu mereka sendiri dengan sistem operasi tersebut.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Valve kini sedang bekerjasama dengan NVIDIA untuk memperkenalkan sokongan SteamOS untuk siri kad grafik NVIDIA. Valve mempunyai pasukan khusus yang mana tugas mereka adalah untuk membangunkan sistem sokongan untuk kad-kad grafik NVIDIA, walaupun dalam temubual bersama The Verge, jurutera dan jurucakap Valve, Pierre-Loup Griffais mengatakan bahawa sokongan untuk siri kad grafik tersebut dijangka hanya akan mula diperkenalkan pada tahun hadapan.

Dengan sistem operasi SteamOS 3.8, Valve telah memperkenalkan sokongan untuk sistem yang dibina dengan komponen-komponen AMD dan juga Intel, tetapi buat masa ini, ia dilaporkan bahawa sistem operasi ini berfungsi secara terbaik dengan gabungan CPU dan kad grafik AMD Ryzen dan AMD Radeon.
Satu lagi kekurangan pada SteamOS 3.8 ialah sokongan HDMI CEC (Consumer Electronics Control) yang menariknya, hadir pada konsol Steam Machine. Sokongan HDMI CEC membolehkan pengguna untuk mengawal peranti dan perkakasan yang disambungkan kepada kabel HDMI menggunakan alat kawalan jarak jauh. Dengan Steam Machine contohnya, anda boleh menggunakan alat kawalan Steam Controller untuk menghidupkan konsol apabila ia dalam keadaan tidur ataupun tutup.
Penglibatan Valve bersama NVIDIA untuk memperkenalkan sokongan kepada SteamOS juga merupakan sesuatu yang sangat baik kerana ia bermakna bahawa kelak sokongan siri kad grafik tersebut untuk sistem operasi Linux lain seperti Bazzite dan CachyOS yang hadir dengan fokus terhadap gaming juga akan bertambah baik lagi.
Sumber: The Verge




