Van Langgar Motor Di Senawang: Lampu Isyarat Tukar Kuning Bukan Alasan Untuk Terus Tekan Minyak – ADUN Paroi

LocalPolitics
6 May 2025 • 10:58 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Masihkah anda ingat kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dan motosikal hingga mengorbankan dua beranak di Persimpangan Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Mac lalu?

Baru sahaja berlaku pada dua bulan lalu, kini tragedi yang sama berulang kembali pada 3 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berusia 20 tahun dipercayai gagal berhenti di persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah.

Tindakan itu menyebabkan van berkenaan yang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau telah merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Kejadian yang berulang ini nyata mendapat perhatian ramai hingga ada yang mahu pihak berkaitan mengambil tindakan sepatutnya.

Lampu Isyarat Bertukar Kuning Bukan Alasan Untuk Tekan Minyak – ADUN Paroi

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain tampil mengulas isu berkenaan.

Jeasnya, lampu isyarat tidak jelas di persimpangan tersebut bukanlah alasan untuk pemandu memandu secara laju dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Malah, Kamarol berpendapat isu sebenar adalah berpunca daripada sikap pemandu yang kurang sabar hingga ada yang sanggup mengambil risiko hanya kerana mahu menjimatkan beberapa saat di jalan raya.

“Apabila lampu isyarat bertukar kuning, ramai pemandu tidak memperlahankan kenderaan. Sebaliknya, mereka menekan minyak sebelum lampu bertukar merah,” katanya.

Ada Terima Cadangan Daripada Penduduk Untuk Pasang CCTV

Menerusi hantaran di Facebook milliknya, Kamarol juga menjelaskan pihaknya ada menerima cadangan dari penduduk setempat sebagai penambahbaikan bagi mengatasi isu terbabit.

Namun, Kamarol berpendapat kemalangan sebegitu dapat dielakkan sekiranya pemandu mematuhi peraturan dan berhemah.

“Kami banyak menerima cadangan daripada penduduk sekitar Senawang untuk mengatasi isu ini antaranya memasang kamera pengawasan pantau kesalahan langgar lampu isyarat serta menyelenggara “Jalur Rentas Kuning” di kawasan lampu isyarat.

“Apa pun isu ini boleh dielakkan jika semua pihak bersabar dan mematuhi lampu isyarat,” katanya.

KEMALANGAN DI PERSIMPANGAN MATAHARI HEIGHTS Beberapa bulan yang lepas kita dikejutkan dengan kemalangan maut yang…

Posted by Kamarol Ridzuan – Pak Kam on Monday 5 May 2025

Akan Bincang Bersama JKR Untuk Tambah Baik Susunan Masa Lampu Isyarat

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar menjelaskan satu perbincangan akan dibuat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi isu berkenaan.

“Walaupun kemalangan ini berpunca daripada sikap pemandu tetapi pihak JKR akan menambahbaik beberapa perkara dalam susunan lampu isyarat di kesemua persimpangan di jalan lurus tersebut dan juga melaksanakan beberapa tindakan untuk memperlahankan kenderaan,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial video kemalangan pada 3 Mei lalu yang memaparkan van terbabit melanggar lampu isyarat berwarna merah.

Menerusi video tular yang berasingan, tular seorang wanita yang dipercayai ibu mangsa meraung melihat keadaan penunggang motosikal berkenaan tidak bernyawa selepas maut dirempuh.

Source: