
Takziah diucapkan
Van Rosak Dalam Perjalanan Ke Papar, Pemuda Menangis Terkandas 3 Jam Bersama Jenazah Bapa Mentua. Seorang lelaki berkongsi kesedihannya selepas terkandas bersama jenazah bapa mertuanya akibat kerosakan van ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Bongawan, Papar, Sabah pada Ahad.
Mohd Ariff Ahmad, dalam hantaran di laman Facebook, menjelaskan bahawa bapa mertuanya meninggal dunia ketika mereka dalam perjalanan. Laluan kawasan pendalaman menyukarkan mereka untuk menerima bantuan dari orang ramai. Keadaan ini menambahkan lagi kesedihan dan tekanan yang dialaminya.

Mohd Ariff juga telah membuat video secara langsung berdurasi lebih 40 minit mengenai keadaannya yang terkandas di simpang jalan Kota Belud bersama jenazah bapa mertuanya. Dalam video tersebut, beliau berkongsi rasa sedih dan perit yang dialaminya.
“Al-Fatihah untuk bapa mentua, baru mahu bawa di kampung bersama kami, rupanya meninggalkan kami semua.
“Kami dari Sandakan dalam perjalanan pulang ke Bongawan, pam brek bocor dan (kami) terkandas beberapa jam di sini. Kami berdua saja sekarang dan situasi ini membuatkan air mata saya mengalir,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsikan di Facebook, Mohd Ariff Ahmad menjelaskan bahawa pihak Hospital Tuaran telah sampai di tempat kejadian dan hanya mengesahkan kematian bapa mertuanya.
Namun, pihak hospital tidak membawa jenazah ke hospital terlebih dahulu.

“Sementara itu, pihak hospital juga memberitahu agar mengurus sendiri van jenazah, lalu mereka beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Setelah itu, Mohd Ariff menghubungi rakannya yang bernama Azhari Jaafar untuk menghubungi van jenazah yang berhampiran dengan lokasi kejadian. Setelah dua jam setengah menunggu, akhirnya datanglah kereta jenazah dari kampung Ketiau, Putatan, yang membawa jenazah pulang ke Bongawan untuk diuruskan dan dikebumikan oleh keluarga yang berada di Bongawan.
Kisah Mohd Ariff Ahmad ini mendapat perhatian ramai di media sosial, di mana orang ramai turut bersimpati dan memberikan kata-kata semangat serta doa buat keluarganya yang sedang bersedih. Tragedi ini mengingatkan kita akan pentingnya persediaan dan sokongan dalam menghadapi situasi kecemasan, terutamanya ketika berada di kawasan pendalaman.


