amree29/07/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Vantage Data Centers dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan aset pusat data (DC) miliknya di Malaysia yang berpotensi bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.17 bilion).
Menurut laporan Bloomberg, langkah pelupusan aset berkenaan sekiranya dimuktamadkan boleh menjadi antara urus niaga paling besar dalam pembangunaan industri sektor pusat data (DC) negara ini.
Katanya memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut, penyedia kampus DC berskala besar itu ketika ini bekerjasama dengan penasihat kewangan bagi menilai cadangan penjualan aset berkenaan.
Sumber itu namun berkata, pertimbangan masih di peringkat awal dan Vantage masih boleh memutuskan untuk mengekalkan pegangan asetnya di Malaysia sekiranya tiada keputusan muktamad dicapai.
Setakat ini, wakil Vantage Data Centers dan syarikat induknya, DigitalBridge Group Inc, belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan Bloomberg untuk mengulas mengenai laporan spekulasi itu.
Di Malaysia, Vantage memiliki kampus dikenali KUL1 berkapasiti 31 megawatt (MW) di Cyberjaya, selain sedang membangunkan kemudahan kedua yang dijangka menawarkan kapasiti mencecah 436MW.
Di Johor pula, syarikat itu sedang membangunkan tiga DC yang mempunyai kapasiti gabungan melebihi 300MW, sekali gus menjadikannya antara kampus fasiliti berkenaan terbesar di Asia Tenggara.
Jika diteruskan, ia dijangka menarik minat pelabur infrastruktur global yang agresif mendapatkan aset DC berikutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
Perkembangan tersebut turut mencerminkan nilai strategik Malaysia sebagai hab DC serantau, didorong faktor pertumbuhan pesat pelaburan teknologi, khususnya di Johor dan Cyberjaya sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, DigitalBridge kini sedang dalam proses diambil alih oleh SoftBank Group Corp menerusi urus niaga yang dilaporkan bernilai kira-kira AS$3 bilion (RM12.27 bilion).
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan mengenai penjualan aset Vantage di Malaysia, dan semua pertimbangan masih tertakluk kepada keputusan syarikat. - DagangNews.com






