Vantage dikatakan pertimbang jual aset pusat data di Malaysia bernilai lebih AS$2 billion - Bloomberg

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantage dikatakan pertimbang jual aset pusat data di Malaysia bernilai lebih AS$2 billion - Bloomberg Image from: Vantage dikatakan pertimbang jual aset pusat data di Malaysia bernilai lebih AS$2 billion - Bloomberg amree29/07/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 JulaiVantage Data Centers dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan aset pusat data (DC) miliknya di Malaysia yang berpotensi bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.17 bilion).

 

Menurut laporan Bloomberg, langkah pelupusan aset berkenaan sekiranya dimuktamadkan boleh menjadi antara urus niaga paling besar dalam pembangunaan industri sektor pusat data (DC) negara ini.

 

Katanya memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut, penyedia kampus DC berskala besar itu ketika ini bekerjasama dengan penasihat kewangan bagi menilai cadangan penjualan aset berkenaan.

 

Sumber itu bagaimanapun berkata, pertimbangan masih di peringkat awal dan Vantage masih boleh memutuskan untuk mengekalkan pegangan asetnya di Malaysia sekiranya tiada keputusan muktamad dicapai.

 

Setakat ini, wakil Vantage Data Centers dan syarikat induknya, DigitalBridge Group Inc, belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan Bloomberg untuk mengulas mengenai laporan spekulasi itu.

 

Di Malaysia, Vantage memiliki kampus dikenali KUL1 berkapasiti 31 megawatt (MW) di Cyberjaya, selain sedang membangunkan kemudahan kedua yang dijangka menawarkan kapasiti mencecah sehingga 436MW.

 

Di Johor pula, syarikat itu sedang membangunkan tiga DC yang mempunyai kapasiti gabungan melebihi 300MW, sekali gus menjadikannya antara kampus fasiliti berkenaan terbesar di Asia Tenggara.

 

Jika diteruskan, ia dijangka menarik minat pelabur infrastruktur global yang agresif mendapatkan aset DC berikutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

 

Perkembangan tersebut turut mencerminkan nilai strategik Malaysia sebagai hab DC serantau, didorong faktor pertumbuhan pesat pelaburan teknologi, khususnya di Johor dan Cyberjaya sendiri.

 

Dalam perkembangan berkaitan, DigitalBridge kini sedang dalam proses diambil alih oleh SoftBank Group Corp menerusi urus niaga yang dilaporkan bernilai kira-kira AS$3 bilion (RM12.27 bilion).

 

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan mengenai penjualan aset Vantage di Malaysia, dan semua pertimbangan masih tertakluk kepada keputusan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved