Vantris Energy lupus 40% ekuiti dalam L&T-Sapura Shipping pada RM124 juta

LocalBusiness & Finance
12 Jan 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantris Energy lupus 40% ekuiti dalam L&T-Sapura Shipping pada RM124 juta image is not available haziq12/01/2026 - 18:00 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Jan – Vantris Energy Berhad, sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Berhad, melupuskan 40% kepentingan ekuiti dalam L&T-Sapura Shipping Pvt. Ltd. (LTSSPL) kepada rakan usaha samanya, Larsen & Toubro Limited (L&T), dengan jumlah pertimbangan kira-kira AS$30.5 juta (RM124 juta).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata pelupusan tersebut merangkumi pertimbangan ekuiti serta pelunasan penuh pinjaman pemegang saham tertunggak berserta faedah terakru yang terhutang kepada kumpulan. 

 

Transaksi berkenaan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Sapura Nautical Power Pte Ltd (Singapura).

 

Vantris Energy menjelaskan, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk menyusun semula, memperkukuh dan mengoptimumkan portfolio aset, selaras dengan tumpuan baharu terhadap keupayaan teras dan aset milik penuh bagi menyokong penciptaan nilai jangka panjang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pelupusan berkenaan sejajar dengan keutamaan transformasi organisasi. 

 

“Langkah itu merupakan satu lagi kemajuan dalam membentuk Vantris Energy menjadi organisasi yang lebih fokus, tangkas dan berdaya tahan dari segi kewangan, di samping mengalihkan modal serta perhatian kepada perniagaan, aset dan rantau yang mempunyai kelebihan daya saing untuk menjana nilai mampan,” katanya.

 

Menurut kumpulan itu, hasil bersih pelupusan akan digunakan bagi keperluan operasi perniagaan kejuruteraan & pembinaan (E&C) serta operasi & penyelenggaraan (O&M).

 

Selepas pelupusan pegangan dalam kapal LTS3000, Vantris Energy kini memiliki empat kapal pengangkat berat dan pemasangan paip yang kesemuanya dimiliki sepenuhnya. 

 

Secara keseluruhan, kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 12 kapal serta tongkang pembinaan luar pesisir di bawah segmen E&C, yang berkeupayaan melaksanakan kerja pengangkutan dan pemasangan di perairan cetek dan dalam serta perkhidmatan dasar laut. - DagangNews.com

Terkini standard