
BAGAN SERAI – Varieti padi baharu yang lebih tahan terhadap cuaca ekstrem dan kurang memerlukan bekalan air sedang dibangunkan bagi membantu pesawah menghadapi ketidaktentuan cuaca.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Datuk Zolkafly Harun berkata, usaha menghasilkan varieti berkenaan sedang dijalankan agensi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Agensi Nuklear Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, varieti itu masih dalam peringkat percubaan dan belum diperkenalkan secara meluas kepada pesawah.
“Saya mendapat maklum bahawa pihak MARDI dan Nuklear Malaysia telah menghasilkan varieti padi baharu yang mempunyai ketahanan terhadap cuaca ekstrem serta tidak memerlukan bekalan air yang banyak.
“Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat percubaan dan kita perlu melihat berapa hasil yang boleh diperoleh bagi setiap hektar sebelum ia dapat dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Ambang Merdeka 2026 di Selinsing, di sini malam tadi.
Menurut beliau, penghasilan varieti padi yang lebih tahan terhadap cuaca ekstrem amat penting berikutan sektor penanaman padi kini berdepan perubahan cuaca yang sukar dijangka.
Katanya, keadaan itu boleh memberi risiko kepada pesawah, terutama sekiranya berlaku cuaca panas berpanjangan atau perubahan corak hujan yang menjejaskan bekalan air untuk tanaman.
“Ketidaktentuan cuaca atau keadaan ekstrem seperti ini boleh memberi risiko kepada pesawah, petani dan sektor pertanian secara keseluruhannya.
“Kerajaan bersama agensi berkaitan sentiasa menjalankan kajian untuk menghasilkan varieti padi yang sesuai dengan keadaan cuaca ekstrem supaya tanaman padi dapat diteruskan,” katanya.
Zolkafly berkata, usaha berkenaan turut penting bagi kawasan penanaman padi utama termasuk Kerian yang mempunyai jumlah pesawah yang besar dan bergantung kepada bekalan air serta keadaan cuaca yang sesuai bagi memastikan pengeluaran padi dapat diteruskan.
Beliau turut menggalakkan pesawah mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pertanian berhubung perkembangan varieti baharu serta teknologi pertanian yang boleh membantu meningkatkan hasil pengeluaran.
Katanya, kerajaan juga mempunyai kemudahan pengeluaran benih padi yang diuruskan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Sekiranya kita dapat menghasilkan benih padi yang berkualiti dan seragam serta memaksimumkan hasil pengeluaran, perkara itu tentunya akan memberikan manfaat kepada pesawah kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Varieti padi tahan cuaca ekstrem sedang diuji – Zolkafly appeared first on Kosmo Digital.


