
BAGAN SERAI: Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada kira-kira 1,265 pesawah di Perak Tengah yang terjejas akibat masalah bekalan air dan kehilangan pendapatan bagi tanaman pertama tahun ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu depan.
Katanya, kerajaan negeri sudah menjalankan tinjauan di kawasan terjejas kira-kira dua minggu lalu sebelum mengenal pasti masalah yang dihadapi pesawah, khususnya di Bota, Perak Tengah.
“Insya-Allah kerajaan negeri telah meneliti dan akan mengumumkan sesuatu kepada pesawah yang menghadapi masalah bekalan air dan juga kehilangan pendapatan bagi tanaman pertama mereka.
“Saya penuh yakin kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius berdasarkan keperluan, kehilangan pendapatan dan pengeluaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Peladang Agro Karnival Perak (PAKAR) 2026 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, di sini hari ini.
Mohd. Zolkafly berkata, setakat ini hanya pesawah di Perak Tengah dikenal pasti terjejas akibat masalah berkenaan, manakala pihaknya belum menerima maklumat mengenai kawasan penanaman padi lain yang mengalami keadaan sama.
“Kalau kita dapat maklumat daripada jabatan dan agensi berkaitan mengenai kawasan lain, kita akan beri perhatian yang sama sebagaimana yang berlaku di Bota, Perak Tengah,” katanya.
Menurutnya, masalah bekalan air itu bukan semata-mata berpunca daripada cuaca panas, sebaliknya turut membabitkan masalah teknikal yang menjejaskan sistem pengairan ke kawasan sawah.
Katanya, terdapat pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dimasuki pasir sehingga rosak dan tidak dapat digunakan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pesawah.
“Kita minta agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan ruang sedikit untuk lepasan air dan JPS sendiri memperbaiki pam airnya. Alhamdulillah, perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – UTUSAN
The post Nasib 1,265 pesawah terjejas dapat perhatian kerajaan Perak appeared first on Utusan Malaysia.






