
BAGAN SERAI: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan dua bentuk bantuan kepada kira-kira 1,265 pesawah di Perak tengah yang terjejas selepas tidak dapat menanam padi pada musim pertama susulan masalah bekalan air.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Datuk Zolkafly Harun berkata, bantuan berkenaan sama ada diberikan secara sekali bayar (one-off) atau berdasarkan jumlah kerugian yang dialami pesawah.
Katanya, Jabatan Pertanian telah diminta menjalankan penelitian bagi mengenal pasti pesawah yang layak menerima bantuan sekiranya kerajaan negeri menyediakan peruntukan.
“Kerajaan negeri telah mengambil maklum perkara ini dan saya akan mencari jalan terbaik untuk membantu pesawah yang terlibat.
“Kita amat bersimpati dengan keadaan yang mereka alami, terutama apabila tanaman musim pertama tidak dapat dilakukan kerana bekalan air tidak diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian penutup program jelajah sejahtera desaku @Dun Selinsing di Selinsing malam tadi.
Menurut Zolkafly, masalah bekalan air bagi musim kedua bagaimanapun telah dapat ditangani selepas perbincangan dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pesawah.
“Alhamdulillah, bagi musim kedua ini kita telah berbincang dengan jabatan dan agensi berkaitan dan air telah dapat disalurkan kepada pesawah.
“Insya-Allah, saya yakin kerajaan negeri akan mengambil perhatian serius terhadap kehilangan pendapatan dan kerugian yang mereka alami,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap nasib pesawah yang terjejas, termasuk mempertimbangkan bentuk bantuan yang bersesuaian dengan kemampuan kerajaan.
Katanya, sumbangan benih padi atau bantuan lain juga boleh dipertimbangkan sebagai tanda menghargai pengorbanan pesawah dalam memastikan bekalan makanan ruji rakyat negara ini mencukupi.
“Pesawah telah berkorban demi rakyat Malaysia untuk menghasilkan beras yang menjadi makanan ruji rakyat negara ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 1,265 pesawah di Perak Tengah mengalami kerugian setelah kehilangan pendapatan bagi tanaman pertama tahun ini akibat masalah bekalan air. – UTUSAN
The post 1,265 pesawah terjejas bakal terima bantuan – Zolkafly appeared first on Utusan Malaysia.






